MT Umno tidak bincang isu pemecatan ahli

Asyraf berkata isu berkaitan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil mengenai Umno perlu bergerak solo juga tidak dibincangkan

1:06 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Isu membabitkan pemecatan beberapa ahli Umno tidak dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam ini, sebaliknya tertumpu kepada usaha memperkasakan parti itu.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata isu berkaitan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil mengenai Umno perlu bergerak solo dalam pilihan raya sebelum ini, juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat itu susulan ketidakhadirannya.

“Isu ini tidak timbul kerana keputusan Kerajaan Perpaduan sudah dibuat pada 23 November 2022, itu keputusan parti oleh Majlis Tertinggi (MT)… keputusan yang diambil itu adalah keputusan konsensus.

”Saya kongsikan pada malam (keputusan) itu, 56 Ahli MT semua bersetuju dan hanya dua orang sahaja yang mempunyai pandangan berbeza. Tetapi, ketetapan bersama dibuat dan selepas itu tiada isu berbangkit di luar oleh mana-mana Ahli MT. Cuma baru-baru ini sahaja (ia dibangkitkan),” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, di sini malam ini.

Mengenai perkembangan isu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Melaka, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang menghadiri Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional (PN), Asyraf Wajdi berkata perkara itu terserah kepada Lembaga Disiplin.

Terdahulu, Isham Jalil mendakwa dirinya termasuk beberapa ahli UMNO berkemungkinan dipecat daripada parti itu minggu ini, susulan tindakan lantang pemimpin terbabit mengkritik keputusan kepimpinan parti menyertai pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH).

Berhubung mesyuarat malam ini, Asyraf berkata parti itu menyambut baik cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewujudkan kembali Konvensyen Ekonomi Bumiputera sekali gus, menawarkan untuk mengurus selia penganjurannya. 

Selain itu, beliau berkata Umno akan melaksanakan langkah penambahbaikan dan pemerkasaan parti berpandukan dapatan post-mortem keputusan enam Pilihan Raya Negeri yang telah diperincikan dan diperoleh  daripada bahagian-bahagian Umno.

“Konvensyen Umno bahagian-bahagian juga akan diadakan berfokuskan aspek pengukuhan organisasi parti dan memberikan kefahaman kepada ahli-ahli parti di peringkat akar umbi berkenaan dasar-dasar parti membabitkan prinsip dan hala tuju perjuangan parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengukuhan hubungan kerjasama Umno bersama rakan-rakan parti dalam Pakatan Harapan juga akan dipergiatkan bagi memastikan kestabilan politik negara dan kemakmuran rakyat,” katanya. – 14 September, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Related