Johari tegur Hamzah, kalau cerita soal ekonomi kena tengok angka bukan ‘ambil dan pilih’

Johari berkata, tidak semua rakyat arif mengenai ekonomi

4:43 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin ditegur supaya tidak ‘ambil dan pilih’ angka ekonomi sekadar untuk mencantikkan prestasi Perikatan Nasional (PN) ketika mentadbir negara.

Ahli Parlimen Titiwangsa dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, tidak semua rakyat arif mengenai ekonomi.

“Perkembangan ekonomi Malaysia pada 2021 tidak mengatasi penguncupan yang dialami pada 2020, tidak sepertimana Singapura dan Indonesia yang masing-masing menguncup 4.1 peratus dan 2.1 peratus pada 2020, namun melantun kepada 7.6 peratus dan 3.7 peratus pada 2021.

“Malaysia bagaimanapun hanya berkembang 3.1 peratus pada 2021, berbanding penguncupan 5.5 peratus pada 2020. Jadi tidak cukup untuk cover (lindung) penguncupan yang berlaku pada 2020,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari turut meminta pembangkang supaya melihat ekonomi secara mutlak apabila mahu bercakap mengenai perkara itu.

“Ekonomi ini rakyat biasa dia tak berapa faham. Jadi apabila kita membentangkan sebagai Ahli Parlimen, kita mesti bertanggungjawab.

“Apabila kita cerita pasal soal ekonomi kita kena tengok angka-angka ini secara keseluruhan, bukan ‘pick and choose’ (ambil dan pilih),” tegasnya.

Terdahulu, Hamzah ketika membahaskan KSP RMK12 mendakwa kerangka yang disusun dengan baik dan rapi oleh pentadbiran PN membawa kepada kejayaan ekonomi negara hari ini.

Beliau mendakwa dua tahun pertama pelaksanaan RMK12 merekodkan pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.9 peratus setahun, manakala 90 peratus daripada 175 sasaran mengikut jadual dengan 31 peratus daripadanya mencapai sasaran.

Sementara itu, Johari menggesa agensi kerajaan untuk menyemak semula projek yang tidak memberi kesan kepada ekonomi negara, selain perlu menggantinya dengan projek yang mempunyai kesan berganda.

“Kementerian Kewangan mesti memantau rapat syarikat yang culas membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), supaya kutipan cukai boleh dipungut dengan lebih cekap dan boleh dipulangkan semula untuk manfaat rakyat.

“Langkah itu penting untuk dilaksanakan oleh agensi kerajaan berbaki dua setengah tahun lagi RMK12.

“Strategi itu boleh dipertimbang untuk mengembalikan semula ekonomi Malaysia ke hadapan selepas beberapa tahun tertinggal di belakang,” katanya. – 12 September, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Renewed threat on Vivekananda Ashram – Ravindran Raman Kutty

Brickfields' cultural heritage facing development risk again

We almost didn’t survive: Penampang resident recounts ‘worst flood in decades’

60-year-old describes how tragedy left him and his family devastated after losing nearly everything in their home

Related