BN boleh kekal dalam Kerajaan Perpaduan tapi perlu bertanding solo, jika tidak… : Isham

Akar umbi Umno menolak DAP bukan disebabkan indoktrinasi propaganda, tetapi hakikat sememangnya perjuangan parti itu amat bertentangan dengan pejuangan Umno

3:06 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Isham Jalil mencadangkan agar parti itu bertanding solo pada pilihan raya akan datang dalam usaha memulihkan keyakinan akar umbinya.

Beliau berkata, akar umbi menolak DAP bukan disebabkan indoktrinasi propaganda, tetapi hakikat sememangnya perjuangan parti itu amat bertentangan dengan pejuangan Umno.

Menurutnya, DAP memperjuangkan ‘Malaysian Malaysia’ yang mahu kesamarataan, yakni penghapusan hak keistimewaan Melayu tetapi perjuangan asas Umno pula tegar mempertahankan hak tersebut.

“Jika Umno berlembut dalam hal ini, perjuangan asas ini akan lemah dan terhakis dan sedikit masa lagi akan hilang. Saya telah menulis panjang lebar berkenaan hal ini.

“Ini adalah isu asas dalam perjuangan Umno dan bukannya isu remeh atau isu pragmatik yang boleh di “white wash” atau di “brainwash” begitu sahaja,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Tegas beliau lagi, perjanjian retorikal supaya DAP tidak menyentuh hak orang Melayu adalah tidak bermakna jika mereka masih meneruskan agenda ‘Malaysian Malaysia’.

“Suatu hari apabila mereka berkuasa dan mempunyai lebih banyak kerusi dan kita pula bergantung harap kepada undi mereka, saya tidak terkejut jika mereka melaksanakan agenda perjuangan Malaysian Malaysia mereka ini.

“Ini mudarat besar kepada orang Melayu. Ketika itu sudah terhantuk barulah kita tergadah. Apabila ini berlaku, nasi sudah menjadi bubur. Umno terbakar bukan sebab anak kecil atau akar umbi main api, tetapi sebab pucuk yang bermain api,” katanya.

Pada masa sama, Isham mendakwa, lapan daripada 10 pengundi Melayu tidak lagi mengundi Barisan Nasional (BN) atau gabungan yang di bawah parti itu, manakala sembilan daripada 10 akar umbi Umno sama ada tidak keluar mengundi atau mengundi PN.

“Sebab itu kita kalah di 90 peratus kerusi yang kita bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN), dan hilang 27,000 (90 peratus) penyokong kita pada Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Kini hanya 20 peratus orang Melayu menyokong Umno. Di tahap ini, semua 26 kerusi Umno sedia ada besar kemungkinan akan kalah jika diadakan PRK,” katanya.

Malah katanya, situasi itu juga membayangkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang akan datang, jika keadaan tidak berubah atau menjadi semakin teruk, Umno akan terus lenyap.

“Perikatan Nasional (PN) tentunya suka jika Umno tidak berubah dan kekal dalam keadaan ini, sebab kerusi tersebut akan berpindah tangan kepada mereka dan mereka boleh membentuk kerajaan pada PRU-16 nanti.

“Jadi kita boleh kekal dalam Kerajaan Perpaduan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, namun boleh bertanding pilihan raya sebagai BN.

“Dengan ini kita boleh menyumbang dalam hal-ehwal dasar dalam kerajaan dan pada masa sama mengekalkan perjuangan asas dan mengembalikan akar umbi kita,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan ‘Malaysian Malaysia’ seperti didesak sesetengah pihak.

Menurutnya, prinsip itu juga telah dijelaskan dan dipersetujui secara bersama sebelum Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibentuk sebelum ini.

Malah katanya, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan DAP berhubung perlembagaan parti itu. – 11 September, 2023

Topics

 

Hangat

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

Elderly, disabled face ‘roadblocks’ as public transport goes fully digital

Consumer group urges government and public transport companies to be more inclusive with digitalisation approach

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related