KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan menambah siling RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat.
“Anjakan baharu bermula dengan menoktahkan kemiskinan tegar, menyelesaikan masalah asas prasarana dan keperluan asas rakyat termasuk memperbaiki sekolah dan klinik daif, menjamin bekalan air bersih, serta meneraju ekonomi Islam,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.
Perdana Menteri berkata, selaras itu, RMK-12 juga akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi Madani yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun.
“Kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi 2023 hingga 2025.
“RMK12 memperuntukkan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan sambungan dan baharu untuk tempoh lima tahun. Bagi tempoh dua tahun pertama, prestasi perbelanjaan sebenar ialah 34 peratus.
“Pada 2021, jumlah perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM64.3 bilion, sementara pada 2022 jumlahnya adalah sebanyak RM71.6 bilion,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menerusi Facebooknya hari ini memaklumkan KSP RMK-12 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bakal merungkai pelbagai perkara berkaitan tahap pembangunan negara dan sosioekonomi rakyat untuk penggal 2021-2025. – 11 September, 2023