KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menjelaskan ‘Beras Ganu’ yang mendapat Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) adalah program dilaksanakan kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Pertanian di seluruh negara.
Kementerian itu menerusi satu kenyataan hari ini berkata, beberapa agensi lain seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA), Kawalselia Padi dan Beras (KPB) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut terlibat dalam program tersebut.
Malah katanya, perkataan MAFI yang tertera pada bungkusan tersebut juga merujuk kepada KPKM.
“myGAP merupakan skim pensijilan yang dirangka dan dilaksanakan sejak 2002 untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar, serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja.
“Objektif program myGAP adalah untuk meningkatkan bilangan petani supaya mengamalkan amalan pertanian baik dan diberi pengiktirafan supaya menghasilkan pengeluaran ladang yang selamat dan berkualiti di samping memelihara alam sekitar serta menjaga keselamatan dan kebajikan pekerja,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, keluasan tanaman padi di Terengganu yang mendapat myGAP menerusi jenama Beras Ganu berjumlah 908.7 hektar daripada keluasan 12,000 hektar.
Malah katanya, sebanyak 450 metrik tan beras Ganu myGAP dihasilkan pada 2021 dan jumlah itu hanya enam peratus daripada bekalan beras di pasaran Terengganu.
“Untuk rekod, tahap sara diri (SSL) bagi beras di Terengganu pada 2022 adalah 56 peratus ekoran bencana banjir luar jangka yang berlaku dan bukannya 78 peratus seperti dilaporkan oleh sesetengah pihak,” katanya.
Tambah KPKM, pesawah yang terlibat hanya memperolehi insentif upah mesin padi RM8 setiap guni (85 kilogram (kg)) pada 2021 dan RM9 setiap guni (85 kg) pada 2023 sumbangan kerajaan negeri.
“Ini adalah sebagai tambahan kepada bantuan diberikan oleh kerajaan Persekutuan bagi insentif tanaman padi melalui pemberian subsidi input seperti benih padi sah, baja, racun, bajak, kapur dan subsidi output Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) berjumlah hampir RM1.63 bilion setahun di seluruh negara termasuk Terengganu,” katanya.
Baru-baru ini, Exco Pertanian, Industri Asas Tani Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, Terengganu merupakan negeri pertama yang mengeluarkan beras sendiri dengan mempunyai sijil myGAP menerusi jenama Beras Ganu.
Menurut beliau, pihaknya mengeluarkan sebanyak 450 tan metrik beras jenama tersebut bagi setiap musim untuk berada dalam pasaran di negeri itu. – 9 September, 2023