Pengguna mengeluh, masih sukar temui beras tempatan di Lembah Klang

6:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Orang ramai kini mengeluh apabila mereka masih sukar untuk mendapatkan bekalan beras putih tempatan (BPT)  termasuk di pasar raya besar yang kehabisan stok beras berkenaan.

Tinjauan Scoop di beberapa pasar raya besar besar dan pasar borong di Lembah Klang mendapati rak-rak yang menempatkan beras putih tempatan di beberapa pasar raya kosong, yang tinggal hanya beras import, beras wangi dan beras jenis basmathi yang lebih mahal harganya.

Keadaan ini menyebabkan pengguna tiada pilihan dan terpaksa membeli beras putih import yang turut melonjak naik harganya malah ada jenama meningkat melebihi RM10 hari ini.

Beras putih import jenama Masjid dengan berat 10kg pada minggu lalu dijual dengan harga RM33.90 namun hari ini ia meningkat kepada RM39.50. – Gambar Scoop/Irwan, 9 September, 2023

Sebagai contoh, beras putih import jenama Masjid dengan berat 10kg pada minggu lalu dijual dengan harga RM33.90 namun hari ini ia meningkat kepada RM39.50, manakala beras jenama Jasmine daripada RM36 naik kepada RM47.40.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Ahmad Nasir, 51, pula berkata keputusan untuk hadkan pembelian satu langkah yang baik, namun pengguna masih berdepan masalah untuk membeli beras tempatan pada harga RM26 bagi 10kg.

Ahmad yang mengusahakan restoran memaklumkan kebiasaannya dia membeli 300 kampit beras (3,000kg) bagi sekali pembelian namun kini perlu ke beberapa pasar raya bagi membuat pembelian.

“Masalahnya kalau dihadkan, saya sebagai peniaga mengharapkan ada stok bagi beras putih tempatan, tapi saya pusing banyak pasar raya sekitar Kota Damansara ini semuanya tidak ada beras putih tempatan.

“Hampir semua menjual beras putih import yang harganya juga naik lagi hari ini, macam mana nak niaga, jual makanan murah kalau beras pun terus naik harga,” katanya yang turut berharap langkah segera dapat diambil bagi mengelakkan masalah itu daripada berlarutan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 7 September lalu menetapkan setiap pengguna hanya dibenarkan membeli maksimum 100 kilogram (kg) beras putih tempatan (BPT) atau bersamaan dengan 10 kampit beras 10kg.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood berkata, penetapan serta merta itu dibuat berdasarkan Peraturan 10 (1)(b) Peraturan-peraturan Kawal Padi dan Beras (Pelesenan, Pemborong dan Peruncit) 1996, dalam usaha menangani gangguan bekalan beras berkenaan.

KPKM pada 7 September lalu menetapkan setiap pengguna hanya dibenarkan membeli maksimum 100 kilogram (kg) beras putih tempatan (BPT) atau bersamaan dengan 10 kampit beras 10kg. – Gambar Scoop/Irwan, 9 September, 2023

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, bekalan BPT di seluruh negara, dijangka pulih dalam tempoh sebulan susulan langkah intervensi segera yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Katanya, langkah intervensi menerusi Program Khas BPT itu akan meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran seluruh negara.

Dalam pada itu, seorang jurujual syarikat beras yang ditemui di sebuah pasar borong memaklumkan pihak pengurusan mendapat makluman untuk meletakkan harga baharu bagi beras import bermula hari ini.

Dia turut memaklumkan biarpun pasar borong itu antara pusat barangan borong, namun stok BPT sememangnya berkurangan sejak beberapa bulan lalu.

“Kalau ada masuk pun tidak banyak, kebiasaannya dalam dua hingga tiga palet sehari atau antara 20 hingga 30 kampit beras 10 kg. Itu pun kebiasaannya hanya dua jenama beras tempatan sahaja. 

“Yang ini pun dihadkan pembelian setiap pelanggan untuk dua kampit sahaja dan sebaik dikeluarkan memang sekejap sahaja habis, jadi yang tinggal hanyalah beras import,” katanya.

Dia turut mendakwa ada juga kakitangan dalaman yang mengetahui bila stok BPT sampai dan menyimpannya untuk diberikan kepada pelanggan tetap yang dikenali serta diberikan dalam jumlah yang banyak.

Ratnawati Ibrahim berkata jenama BPT lebih sukar untuk ditemui di kedai. – Gambar Scoop/Irwan, 9 September, 2023

Sementara itu seorang pengguna, Ratnawati Ibrahim, 40, berkata jenama BPT lebih sukar untuk ditemui di kedai atau pasar raya kecil dengan rak bagi beras terbabit sentiasa kosong.

“Saya dah beberapa kali datang beli barangan namun masih sukar dapat BPT, memang kosong saja selalu, yang ada beras import sahaja. Saya harap kerajaan dan juga syarikat beras dapat tambah stok BPT, kadang-kadang saya beli beras 10kg untuk kegunaan sebulan, jadi kalau stok tiada, terpaksa tambah perbelanjaan,” katanya. – 9 September, 2023.

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Zii Jia’s payment sponsorship-based, not for national representation, says BAM admin head

This as badminton body’s sponsors differ from star shuttler’s, says Michelle Chai

Bar Council’s challenge of Pardons Board decision to reduce Najib’s sentence is ‘unprecedented’: Hamid Sultan

Retired judge says he has never heard of an attempt to impair a prisoner's constitutional rights, or an injunction to restrict their rights

Related