Lapor pemandu lori bawa lebih muatan, langgar peraturan di aplikasi #MYJalan

Alexander turun padang sekali lagi hari ini bagi meninjau keadaan laluan Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun (FT803) yang mengalami kerosakan disebabkan tindakan pemandu tidak bertanggungjawab

5:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penduduk setempat dan pengguna Jalan Simpang Bakun ke Empangan Bakun (FT803) diminta melaporkan tindakan pemandu lori yang membawa muatan berlebihan menggunakan laluan tersebut.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, aduan boleh dilaporkan menerusi aplikasi MYJalan agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Mereka digalakkan merakamkan gambar perbuatan yang menyalahi peraturan ini dan melaporkannya menerusi aplikasi MYJalan, supaya kita dapat mengambil tindakan sewajarnya dengan segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Alexander, beliau turun padang sekali lagi hari ini bagi meninjau keadaan laluan tersebut yang mengalami kerosakan disebabkan tindakan pemandu tidak bertanggungjawab.

Katanya, beliau mendapat laporan, lori tersebut sengaja melanggar peraturan malah ada pihak bertindak memotong gantri yang dipasang untuk menghalang mereka menggunakan laluan berkenaan.

“Menerusi kempen #MyJalan juga, satu tindakan menyeluruh sedang dilaksanakan melibatkan Kementerian Pengangkutan (MoT) untuk mencari penyelesaian jangka panjang, memastikan isu kerosakan jalan disebabkan kenderaan lebih muatan ini dapat dikurangkan,” katanya.

Tegasnya, secara keseluruhan Kementerian Kerja Raya (KKR) meluluskan peruntukan sebanyak RM7.5 juta untuk memperbaiki turapan jalan yang rosak teruk berpunca daripada kelemahan struktur pavemen.

“Peruntukan ini antara lain melibatkan pembaikan segera lokasi kerosakan jalan yang kritikal dan pemasangan gantri serta papan tanda jalan had berat muatan yang dibenarkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKR juga merancang untuk melebarkan sebahagian laluan membabitkan laluan memotong di lokasi sesuai untuk keselesaan pengguna pada 2024, bergantung kepada kelulusan dalam Belanjawan 2024.

“Secara keseluruhan, KKR memerlukan RM30 juta untuk menaik taraf laluan ini. Saya memberi jaminan akan berusaha mendapatkan peruntukan berkenaan demi keselesaan dan keselamatan pengguna,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 24 Ogos lalu, KKR menerima sebanyak 1,000 aduan menerusi aplikasi MYJalan.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, aplikasi aduan berkaitan kerosakan jalan raya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, namun sebahagian besar aduan terbabit bukan membabitkan jalan milik atau di bawah penyelenggaraan KKR.

Aplikasi MYJalan yang diperkenalkan sempena dengan pelancaran kempen MYJalan merupakan sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kerosakan jalan raya.

Aplikasi ini boleh dimuat turun secara percuma menerusi Google Play, App Store dan Huawei AppGallery. – 9 September, 2023

Topics

 

Hangat

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Anwar’s plan: protecting Petronas and restoring the ringgit – Tuan Muda

How the prime minister’s reforms are taking shape in crucial institutions

Related