JOHOR BAHRU – Hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai hari ini, menjadi ‘hadiah ulang tahun kelahiran bermakna’ bagi seorang pengundi warga emas yang akan meraikan sambutan istimewa itu, esok.
Individu berkenaan, Mohd Ramli, 65, yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui Scoop ketika datang bersama anaknya, Norul Asmawati, 35, bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Melati di sini.
Norul berkata, meskipun ayahnya menghidap strok sejak lima tahun lalu, sehingga menyebabkannya hilang kemampuan mendengar dan bercakap dengan jelas, dia tetap bersemangat untuk mengundi.
“Ayah saya sangat bersemangat mengundi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat. Malah, bangun seawal jam 4 pagi dan terus bersiap selepas Subuh.
“Tidak pasti ayah saya sudah mengundi berapa kali, namun ini kali pertama saya lihat dia sangat teruja, namun saya percaya ia kerana esok hari jadinya, jadi PRK ini umpama hadiah terbaik buat dirinya,” katanya.
Selain itu, seorang pengundi kawasan sama, P Andrew, 34, berkata, dia sanggup datang ke pusat mengundi seawal jam 8.15 pagi bagi mengelakkan terpaksa beratur panjang, memandangkan awal pagi tidak terlalu ramai keluar berbuat demikian .
“Ini kali keempat saya mengundi dan bagi PRK kali ini, prosesnya hanya kira-kira lima minit sahaja,” katanya.
“Jadi, jangkaan saya tepat pagi ini, masih tidak ramai pengundi keluar pada waktu begini. Bagaimanapun, saya jangka lebih ramai mengundi petang nanti,” kata jurusolek artis itu.
Manakala, bagi seorang pengundi muda, iaitu mahasiswa Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Tan Yee Seng, 21, ketiadaan ramai orang di pusat pengundian awal pagi ini, membolehkannya melaksanakan tanggungjawab itu dalam masa singkat, sebelum ke tempat kerja.
“Hari ini memang laju, ambil masa lima minit sahaja. Saya macam tak sangka, namun baguslah kerana saya kena masuk kerja pada jam 11.30 pagi,” katanya.
Pada masa sama, dia mengharapkan agar orang ramai keluar mengundi dan tidak mengambil tindakan memboikot proses demokrasi berkenaan.
“Orang ramai pergilah mengundi segera kerana bukan sahaja proses pengundian lancar dan cepat, petugas SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) ramah dan membantu,” katanya.
Sebanyak 61 pusat pengundian dengan 362 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula 8 pagi ini, sempena PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, masing-masing 47 pusat pengundian di Parlimen Pulai dan 14 pusat pengundian di DUN Simpang Jeram yang dijadual ditutup pada jam 6 petang.
Berdasarkan data terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam, seramai 205,810 pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab hari ini. – 9 September, 2023