KUALA LUMPUR — Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat mengundi kepada pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, esok.
Sambil meminta pengundi yang pulang supaya berhati-hati di jalan raya, Perdana Menteri turut mengingatkan supaya mengekalkan gelombang perpaduan di Pulai dan Simpang Jeram.
“Kekalkan gelombang perpaduan di Pulai dan Simpang Jeram. Kepada yang akan pulang mengundi, berhati-hati di jalan raya dan semoga pergi dan pulang dengan selamat, Insya-Allah.
“Selamat mengundi saya ucapkan! Pilih Harapan, Pilih Perpaduan,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyaram Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Seramai 165,509 pemilih berdaftar akan mengundi bagi memilih wakil rakyat untuk kerusi Parlimen Pulai manakala 40,301 adalah pengundi di Simpang Jeram. – 8 September, 2023