JOHOR BAHRU – Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan penduduk di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram untuk tidak mendengar segala tomahan, fitnah atau racun yang dilemparkan pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri yakin penduduk di dua kawasan berkenaan adalah pengundi matang dan bijak dalam meneliti setiap calon yang akan membawa kebaikan kepada mereka, khususnya dari aspek kebajikan dan pembangunan.
“Esok hari penentuan mereka (pembangkang) datang dan pergi.. saya juga datang dan pergi (sebagai Jemaah Menteri). Calon yang dikehendaki adalah pilihan Datuk Nur Jazlan Mohamed, di mana beliau (Suhaizan Kayat) akan mewakili kita sebagai Ahli Parlimen Pulai.
“Namun jika pilih orang lain mewakili anda di sini, mereka peduli apa sebab dia wakil parti lain yang akhirnya tuan dan puan akan menjadi mangsa. Sebab itulah, pilih calon tepat (esok) agar boleh membantu penduduk di Pulai,” katanya ketika berucap pada Program Madani Care di PPR Melana Indah 2, hari ini.
Dalam pada itu, Zahid berkata, kerajaan persekutuan bersikap ‘buta warna’ iaitu tidak memilih parti dalam menyampaikan pelbagai bantuan khususnya kepada mangsa bencana alam.
Menurut beliau, perkara itu menjadi amalan dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan tidak kira bangsa, agama atau parti politik mendapat segala inisiatif yang dilakukan untuk kebajikan rakyat.
“Harus ada kerjasama di antara semua pihak dan inilah perlu jalinan terbaik dilakukan oleh kerajaan agar terlibatan rakyat dapat meringankan beban agensi kerajaan.
“Umpama ada negeri tak pun bersama kerajaan tapi kita turun membantu sebab kami dalam Kerajaan Perpaduan, buta warna tak kira parti apa pun kerajaan negeri mana pun atas nama kebertanggungjawaban dan kemanusiaan,kami turun tidak kira masa dan tempat,” katanya.
Memberi contoh, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mendedahkan bahawa beliau telah mengarahkan agensi kerajaan terlibat untuk membina semula jambatan runtuh yang menghubungkan Rompin dan Segamat hanya dalam masa tiga hari, akibat banjir.
“Secara kebetulan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) membantu saya dalam terjemah usaha untuk menangani masalah bencana termasuk banjir, kebakaran jerebu, masalah pandemik dan lain,’’ katanya. – 8 September, 2023