Pendidikan harus jadi keutamaan wakil rakyat di Pulai, Tok Batin harap penduduk tak dipindahkan

Meskipun kemudahan sekolah telah disediakan tetapi mereka meminta supaya guru-guru dapat disediakan untuk membolehkan anak-anak mereka belajar di kelas tambahan

1:00 PM MYT

 

JOHOR BAHRU –  Masyarakat Orang Asli menggesa agar isu pendidikan anak-anak diberikan keutamaan dalam perjuangan oleh wakil rakyat yang akan mewakili Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai, Sabtu ini.

Ini kerana, meskipun kemudahan sekolah telah disediakan tetapi mereka meminta supaya guru-guru dapat disediakan untuk membolehkan anak-anak mereka belajar di kelas tambahan.

Tok Batin Kampung Bakar Batu, Kais Kie – Gambar Scoop/Aiman Sadiq, 8 September, 2023

Tok Batin Kampung Bakar Batu, Kais Kie, 62, berkata, keperluan untuk perkara itu perlu diutamakan oleh pemimpin bagi memastikan kanak-kanak Orang Asli mendapat pendidikan berkualiti dan relevan seiring keperluan semasa.

Menurut beliau, akses pendidikan masyarakat tersebut perlu seiring dengan pendidikan arus perdana.

“Saya sebagai tok batin di sini sering menegaskan kepada mereka bahawa pendidikan sangat penting untuk kita menaikkan taraf ekonomi keluarga, apatah lagi kami ini menetap di kawasan bandar raya yang pesat membangun.

“Sehubungan itu, kita mengharapkan agar wakil rakyat yang dipilih nanti boleh menyediakan cikgu di sini bagi memberi kelas tambahan walaupun kemudahan persekolahan telah pun disediakan di peringkat kerajaan,” katanya ketika ditemui Scoop, hari ini. 

Mengulas lanjut, Kais menegaskan, inisiatif berkenaan dilihat mampu memanfaatkan masa terluang anak-anak Orang Asli untuk diisi dengan ilmu pendidikan, selain menghabiskan masa mereka di laut dalam membantu keluarga menambah pendapatan. 

Dalam pada itu, beliau mengharapkan agar wakil rakyat baharu juga dapat mengetengahkan isu tentang pembangunan di Kampung Orang Asli Bakar Batu dan Kampung Orang Asli Sungai Temon.

“Terlalu berbeza hasil pencarian kita sekitar 60-an berbanding sekarang ini sebab dulu kita boleh dapat banyak hasil laut sehingga boleh capai bertan-tan tapi lepas hutan bakau tiada, ia menyebabkan ikan sudah semakin pupus dan menyukarkan kami untuk meneruskan kehidupan. 

“Pendapatan yang tidak menentu ini menyebabkan generasi golongan belia tidak dapat membina rumah disebabkan tiada sumber kewangan sehingga terdapat dua tiga keluarga dalam satu rumah. Itu sangat tidak selesa,” katanya. 

Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Temon, Salim Palon – Gambar Scoop/Aiman Sadiq, 8 September, 2023

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Temon, Salim Palon senada dengan perkara itu dan mengharapkan agar isu penempatan dan pembangunan suku kaum Selatar diberi tumpuan oleh Ahli Parlimen Pulai yang akan dipilih pada Sabtu ini. 

“Wakil rakyat baharu itu nanti harus memperjuangkan kehidupan masyarakat Orang Asli kerana keadaan kehidupan kami sangat mencabar. Nanti jangan pula lupakan kami bila dah menang sehingga kami diabaikan semula. 

“Kami mengharapkan kami tidak dipindahkan walaupun kami ada masalah dengan lokasi menangkap ikan yang semakin terhad. Itu memang benar sehingga kami nak ternak kupang pun susah sekarang ini sebab kawasan sudah semakin kecil. Kalau tak dikekalkan pun, tolonglah susun semula penempatan kami,” katanya. 

PRK Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kaiat, calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi. – 8 September, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

IS launched ‘official’ Malay media group with IED drone manual, firm warns

An international security think tank has warned of the Islamic State terrorist group's latest tactic to expand its influence in Malaysia.  

Leaders bicker while Indians suffer, Santiago slams fellow politicians

Veteran DAP man says angry politicians uncaring for the plight of Indians are the reason why some problems remain unresolved over decades

Related