Bebas akhirnya: 7 tokoh terlepas tuduhan jenayah dan penjara

Ini bukan kali pertama kerajaan dan barisan pendakwaan berdepan dengan kritikan hebat susulan pengguguran kes terhadap ahli politik.

6:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, telah mencipta persepsi terhadap kerajaan perpaduan, meskipun keputusan sama pernah diambil ke atas ahli-ahli politik lain di bawah pentadbiran lalu.

Di sebalik spekulasi adanya penglibatan kerajaan hingga membawa kepada keputusan oleh AGC itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menafikan sebarang campur tangan eksekutif.

Perdana Menteri berkata Peguam Negara mempunyai kuasa sepenuhnya dalam mengendalikan kes tersebut.

Beliau berkata demikian sehari selepas AGC menjelaskan bahawa badan kehakiman menerima permohonan berhubung keputusan DNAA itu dengan alasan yang dikemuka oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent).

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama kerajaan dan barisan pendakwaan berdepan dengan kritikan hebat susulan pengguguran kes terhadap ahli politik.

Malah sejak 2018, sekurang-kurangnya tujuh ahli politik telah digugurkan tuduhan atau mengelak daripada dipenjara.

Datuk Seri Shahidan Kassim – Gambar Facebook, 7 September, 2023

Shahidan Kassim

Datuk Seri Shahidan Kassim yang pernah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya dan kini Ahli Parlimen Arau, pernah didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Beliau dituduh menyentuh bahu hingga tangan remaja berusia 15 tahun di dalam sebuah kereta di tepi jalan di perkarangan Stadium Syed Putra, pada 20 Oktober 2018.

Jika sabit kesalahan, Shahidan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan.

Semasa perbicaraan, pendakwaraya telah memanggil tiga saksi termasuk mangsa, dengan salah seorang daripada mereka memberikan keterangan secara tertutup menerusi kamera.

Bagaimanapun, pada 24 April, 2019, Mahkamah Sesyen Kangar memutuskan Shahidan dilepas tanpa dibebaskan atau DNAA selepas pihak pendakwaan tidak berhajat meneruskan kes.

Peguam Shahidan iaitu Zamri Ibrahim dilaporkan berkata mangsa mengesahkan laporan polis yang dibuat mengenai kes itu tetapi tidak mahu disoal dan tidak mahu teruskan kes.

Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng – Gambar Bernama, 7 September, 2023

Lim Guan Eng

Pada 30 Jun 2016, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berdepan perbicaraan atas dua tuduhan di bawah Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai seorang pegawai badan awam (Ketua Menteri Pulau Pinang) untuk mendapatkan faedah peribadi untuk dirinya dan isteri, Betty Chew Gek Cheng.

Bagi tuduhan pertama, Lim didakwa meluluskan permohonan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd untuk menukar tanah pertanian kepada zon perumahan awam.

Bagi tuduhan kedua, Lim didakwa membeli hartanah di bawah harga pasaran bernilai RM2.8 juta.

Kemudian pada 3 September, 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah melepaskan beliau daripada kedua-dua tuduhan selepas permohonan DNAA oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Ketika dilepas dan dibebaskan, Lim memegang jawatan Menteri Kewangan di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun pada 6 Ogos, 2020, Lim telah didakwa di bawah seksyen 16 (a), Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) atas tuduhan meminta rasuah membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli – Gambar Scoop, 7 September, 2023

Rafizi Ramli

Meskipun beliau tidak mendapat DNAA, namun Rafizi yang kini merupakan Menteri Ekonomi, telah didapati bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 dan terlepas hukuman penjara.

Pada 2016, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mendapati Rafizi bersalah kerana memiliki dan mendedahkan satu halaman Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dihukum penjara 18 bulan.

Rafizi tidak mencabar keputusan itu namun merayu ke atas hukuman berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Rayuan kemudiannya memerintah beliau dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun.

LTTE 12

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek ketika itu, G Saminathan dan bekas Adun Seremban Jaya, P. Kunasekaran serta 10 individu lain telah didakwa atas tuduhan menyokong Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Kesemua 12 individu itu didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Oktober, 2019, dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Bagaimanapun pada 21 Februari, 2020, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas telah menggunakan kuasa budi bicara untuk tidak meneruskan prosiding terhadap kesemua tertuduh mengikut Seksyen 254 (1) Kanun Tatacara Jenayah.

Antara alasannya, Thomas berkata, persamaan mereka ialah semua lelaki berkenaan mempunyai gambar pengasas LTTE, Velupillai Prabhakaran di dalam telefon bimbit atau akaun media sosial mereka.

Beliau menambah jika mungkin terdapat elemen perbuatan pengganas dengan memiliki, mengedar atau memaparkan gambar berkenaan, adalah sia-sia bagi pihak pendakwaan membuktikan bahawa mereka dikecualikan di bawah Seksyen 130B(4) Kanun Tatacara jenayah.

10 individu lain yang dibebaskan ialah V Suresh Kumar, B Subramaniam, S Thanagaraj, S Chandru, S Arivainthan, M Pumugan, Sundram Renggan @ Rengasamy, V Balamurugan, A Kalaimughilan dan S Teeran. 

Musa Aman

Bekas Ketua Menteri Sabah dari 2003 hingga 2018, Tan Sri Musa Aman berdepan dengan 40 tuduhan dikaitkan dengan kontrak konsesi balak di Sabah.

Musa pertama kali dibawa ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November 2018 bagi menghadapi 35 tuduhan rasuah di bawah Seksyen 11(a) Akta SPRM kerana menggunakan kapasiti sebagai Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah untuk memperoleh untuk diri sendiri, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak berjumlah US$50.1 juta.

Kemudian pada 18 Oktober 2019, pendakwaraya telah menggugurkan lima tuduhan rasuah dan memohon tertuduh diberikan DNAA.

Empat bulan selepas kerajaan PN mengambil alih kerajaan pada penghujung Februari 2020, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Azhar Abdul Hamid memberitahu mahkamah pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan dalam kedua-dua kes (rasuah dan pengubahan wang haram).

Pada 9 Jun 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Musa terhadap semua tuduhan selepas mendapat permohonan daripada peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Musa bagi mengelakkan daripada tuduhan tergantung.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor – Gambar Facebook, 7 September, 2023

Tengku Adnan Tengku Mansor

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Disember, 2020 selepas didapati bersalah menerima RM2 juta daripada daripada seorang ahli perniagaan iaitu Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin.

Bagaimanapun, pada 16 Julai 2021, panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan terhadap Tengku Adnan.

Peguam yang mewakili Tengku Adnan, Datuk Tan Hock Chuan dalam hujahnya berkata saksi utama dalam perbicaraan mengesahkan cek bernilai RM2 juta itu adalah sumbangan politik kepada Umno, bukan bayaran kepada Tengku Adnan sendiri.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suraya Othman menerima hujah Tan yang menyatakan terdapat kekurangan bukti menunjukkan bahawa saksi utama itu tidak berlaku jujur dengan testimoninya.

Dalam kes berasingan, Tengku Adnan turut menerima DNAA dalam tuduhan menerima rasuah RM1 juta pada 2013 lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika itu membaca keputusan penghakiman berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memaklumkan menerima arahan daripada Peguam Negara untuk DNAA selepas mendapat perkembangan baharu berhubung kes tersebut.

Abdul Azeez Abdul Rahim

Bekas pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Januari 2019 dengan tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam tuduhan penggubahan wang haram bernilai RM974,414.60 melibatkan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Pada 23 September, 2022, hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi telah melepas dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Baling itu selepas pendakwaan memohon beliau dilepas tanpa dibebaskan.

Timbalan pendakwa raya, Aslinda Ahad memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menerima enam akuan bersumpah daripada saksi-saksi pendakwaan dan menyatakan bahawa siasatan perlu dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berikutan kewujudan bukti baharu.

Abdul Azeez kemudiannya memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk mengubah perintah Azura daripada DNAA kepada pembebasan sepenuhnya.

Pada 9 Disember 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan Abdul Azeez selepas pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan. — 7 September, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Local label Rizman Ruzaini to design Malaysia’s kit for Olympics opening ceremony?

Fashion house has dressed many high-profile figures, including squash icon Datuk Nicol David and top model Naomi Campbell

Related