Nahas 6 beranak: Kadar denda maksimum wajar dinaikkan hingga RM1 juta, ikut persetujuan waris

Kalau melibatkan kematian, syarikat juga perlu bertanggungjawab, bukan saja pemandu yang berdepan hukuman menerusi Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987: pakar

8:15 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kadar denda maksimum sehingga RM500,000 yang dikenakan menerusi Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) kepada syarikat pengendali kenderaan berat yang menjadi punca kemalangan maut wajar ditingkatkan sekali ganda.

Gesaan berkenaan dibuat Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Rozmi Ismail yang mencadangkan pindaan dilakukan kepada akta itu dengan tambahan klausa terutama menaikkan had maksimum denda hingga RM1 juta atau satu nilai yang dipersetujui waris atau ahli keluarga mangsa.

“Akta itu perlu ditambah baik supaya dimasukkan elemen sekiranya kenderaan berat didapati menyebabkan kemalangan maut, syarikat pengendali juga dipertanggungjawabkan atas kesalahan itu, bukan sahaja pemandu.

“Mengambil contoh negara barat, kalau langgar orang sehingga mati, kesalahan itu di bawah Kanun Keseksaan, jenayah kecuaian itu sama seperti melakukan jenayah bunuh terutama jika kemalangan melibatkan kanak-kanak atau pelajar sekolah.

“Di negara ini orang tidak takut, banyak (undang-undang) boleh dirunding, saman pun ada diskaun. Jadi saya sangat setuju kalau dapat dipinda untuk penambahbaikan, kalau melibatkan kematian, syarikat juga perlu bertanggungjawab, bukan saja pemandu yang berdepan hukuman menerusi Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada Scoop hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di Johor pada 1 September lalu yang mengakibatkan enam beranak dalam sebuah Perodua Alza terkorban selepas dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir.

Berikutan itu Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk mendapatkan laporan teknikal siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah lori membawa muatan pasir.

APAD berkata, ia boleh mengambil tindakan sama ada penggantungan atau pembatalan lesen di bawah Seksyen 62, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dengan merujuk kepada kesalahan melanggar syarat berkanun lesen pengendali di bawah Seksyen 58(1) Akta 715.

Mangsa yang terkorban dalam nahas di Jalan Segamat-Kuantan pada 1 September lalu ialah Amir Ruddin Ismail, 46, Norahimah Noor Muhamad, 43, Fatimatulzahrah Amir Ruddin, 17, Seri Khadijah Aqilah Amir Ruddin, 13, Rufaidatul Asyariyah Amir Ruddin, 10 dan Muhammad Assyakrawi Amir Ruddin, 5.

Mengulas lanjut, Rozmi berkata, satu lagi contoh ialah negara Arab yang menggunakan undang-undang Takzir (penilaian hakim) yang mana ganti rugi berhak diberikan kepada mangsa atas kerosakan yang berlaku.

“Di bawah hukum ini pihak yang disabit kesalahan perlu bayar pampasan sesuai dengan kadar kecederaan atau kematian, jadi di sana mereka takut jika terbabit kemalangan sebab boleh bankrap kalau keluarga minta sehingga berjuta-juta. 

“Maknanya kalau kos kematian itu nilai tuntutan satu juta, jadi pihak terbabit kena bayar sejuta, oleh sebab ini melibatkan nyawa manusia. Jadi adalah kita bersedia nak melaksanakan ini, supaya syarikat pengendali sentiasa mengingatkan pemandu kenderaan berat mereka untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan menghormati pengguna jalan raya lain,” soalnya.

Dalam pada itu, pakar pengangkutan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Law Teik Hua, pula berkata, kemalangan di Segamat yang mengorbankan enam nyawa adalah satu kes yang sangat serius justeru penalti yang lebih tinggi wajar dikenakan sebagai amaran.

“Tindakan undang-undang yang lebih berat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (pindaan 2020) sesuai digunakan dalam kes yang melibatkan kematian dan kesalahan yang serius di jalan raya,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis Profesor Negara, (Kluster Polistik, Governan dan Undang-Undang), Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod, pula berpendapat tidak perlu lagi pindaan kepada Akta 715, kerana denda sehingga RM500,000 yang boleh dikenakan kepada syarikat pengendali disifatkan satu kadar yang bersesuaian bergantung kepada tahap serius kesalahan dilakukan.

“Mengikut akta itu, jumlah denda yang boleh dikenakan luas kadarnya iaitu bermula RM1,000 hingga RM500,000. Lantas mahkamah mempunyai pilihan yang banyak (untuk mengenakan denda) yang bergantung kepada keseriusan sesuatu kesalahan tersebut. 

“Contoh, jika menyebabkan kemalangan maut, maka sudah tentu mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang lebih berat. Kalau kesalahan di bawah akta tersebut kesalahan tidak serius, sudah tentu jumlah denda yang dikenakan lebih kecil.

“Kalau denda yang dikenakan besar, maka ia harus bersifat pengajaran kepada pengusaha kenderaan berat itu supaya memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi,” katanya. – 6 September, 2023.

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

‘Very hurtful’: Chief justice exposes legal failures driven by distorted Islamic views

Tun Tengku Maimun Tuan Mat laments misinterpretations of faith that distort justice in high-profile rulings, cites Indira Gandhi and Nik Elin Zurina cases

The ‘powerful’ fallacy of MCMC – Wong Chun Wai

New regulations are needed to police rampant crimes committed on social media platforms used by millions of Malaysians

Related