Kenaikan harga beras import: Presma tidak cadang naikkan harga makanan, ‘kita akan cuba bertahan’

Buat masa ini peniaga akan cuba menanggung kenaikan kos itu kerana menyedari ramai terkesan dengan kenaikan tersebut

1:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) tidak bercadang untuk menaikkan harga makanan di permis itu dalam masa terdekat meskipun harga beras putih import naik 36 peratus mulai 1 September lalu.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, peniaga di bawah persatuan itu akan cuba mengekalkan harga makanan sedia ada walaupun turut terkesan dengan kenaikan harga beras dan beberapa bahan mentah lain.

“Masalah kekurangan beras tempatan dan kenaikan harga beras import sudah tentu memberi kesan kepada peniaga. Bukan saja beras, beberapa bahan mentah lain seperti bawang pun naik.

“Tapi kami tiada niat untuk naikkan harga dalam masa terdekat. Dengan cara itu, sudah tentu keuntungan pun terjejas tapi kami akan cuba bertahan seboleh mungkin untuk kekal dengan harga sekarang,” katanya kepada Scoop.

Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, peniaga di bawah persatuan itu akan cuba mengekalkan harga makanan sedia ada walaupun turut terkesan dengan kenaikan harga beras dan beberapa bahan mentah lain – Gambar media sosial, 5 September, 2023

Menurutnya, buat masa ini peniaga akan cuba menanggung kenaikan kos itu kerana menyedari ramai terkesan dengan kenaikan tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia hanyalah inisiatif jangka masa pendek persatuan itu.

Justeru, beliau berharap agar kerajaan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani isu tersebut agar peniaga dapat terus mengekalkan harga makanan di premis masing-masing.

“Jika kita berusaha mengekalkan harga sekarang, saya pun harap kerajaan akan melakukan sesuatu untuk membantu peniaga. Jika tiada solusi, kita perlu naikkan harga di kemudian hari.

“Tapi saya yakin kerajaan sudah pasti ada syor tertentu untuk membendung kenaikan ini. Kami pun sedia duduk berbincang dengan kementerian kalau dijemput dalam sesi dialog,” katanya.

Menurut Presma, bukan saja beras, beberapa bahan mentah lain seperti bawang pun naik harga – Gambar Scoop, 5 September, 2023

Terdahulu, Scoop melaporkan Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin mendakwa terdapat segelintir pengilang menggunakan taktik ‘tukar baju’ dengan bertindak menukar bungkusan yang mengandungi beras tempatan kepada bungkusan beras import.

Situasi itu ada kemungkinan berlaku kerana bekalan beras Super Spesial Tempatan 5 peratus (SST5) sudah tiada lagi di pasaran sekitar tiga hingga enam bulan lalu.

Malah Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu berkata, semua bekalan bahan mentah tersebut yang dijual di pasar raya berkenaan merupakan beras import.

“Beras SST5 sudah tiada di pasaran. Pengilang dah tak hantar beras tersebut. Semua beras yang dijual di Mydin sekarang beras putih import. Jadi harga mahallah.

“Sebelum Padiberas Nasional Bhd (Bernas) keluar kenyataan naik harga, beras import berharga RM32 (10 kilogram). Tetapi dengan kenaikan RM7 untuk 10 kg, sekarang harga jadi RM39,” katanya. – 5 September, 2023

Topics

 

Hangat

Umno on life support: time for Anwar to pull the plug and bury the loonies – Tuan Muda

The writer doesn't mince his words when he calls for curtains on Malaysia's once premier Malay party

Lim Guan Eng faces party rebellion as grassroots call for his ouster

Party insiders say growing dissent over Lim’s leadership, with critics blaming him for internal strife and strategic missteps

MACC raids home of Ismail Sabri’s ex-aide, over RM100 mil cash seized

Source says authorities also confiscated documents, jewellery, electronic devices

Related