KUALA LUMPUR – Umat Islam disaran tidak terpengaruh dengan mana-mana pihak yang sewenangnya mengeluarkan hukum berkaitan syarak atau fatwa, ekoran perbezaan aliran dan fahaman politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, selaku badan diberi amanah dalam menjaga dan memelihara kesucian agama Islam di negara ini, jabatannya amat khuatir dengan tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghukum pihak yang tidak sealiran fahaman dengan kumpulan masing-masing.
Katanya, situasi itu akan mencetuskan bibit perpecahan lebih serius dan mengancam keselamatan negara.
“Saya ingin merujuk berita tular di media sosial berkaitan kenyataan seorang pemimpin politik menyatakan hukum haram memberikan undi kepada seorang calon yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.
“Saya ingin menzahirkan rasa bimbang terhadap kecenderungan pihak yang mengeluarkan hukum berkaitan syarak dengan sewenang-wenangnya tanpa disiplin sepatutnya. Perkara ini boleh menimbulkan salah faham dalam masyarakat dan mencemar kesucian ajaran Islam.
“Penggunaaan istilah haram mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka boleh didefinisikan kepada enam maksud. Bagaimanapun, umumnya masyarakat di Malaysia mengaitkan penggunaan istilah haram dengan hukum syarak, iaitu ‘hukum tegahan (dalam Islam) yang dijanjikan ganjaran pahala bagi orang mematuhinya dan dosa bagi orang mengingkarinya’,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai pihak berautoriti dalam mengeluarkan pandangan hukum atau fatwa mengenai sesuatu perkara.
“Saya berharap agar kita semua menghormati pihak berautoriti dan tidak terpengaruh dengan hukum dikeluarkan untuk tujuan kepentingan politik kumpulan,” katanya.
Na’im berkata, semua pihak terbabit dalam PRK kali ini, dinasihatkan bersaing secara sihat dengan mengemukakan idea untuk membangunkan rakyat.
“Hentikan segala kempen yang menyentuh sentimen keagamaan dan perkauman.
“Saya dengan ini ingin menyeru semua pihak agar bertanggungjawab untuk menghormati kesucian Islam, menjaga perpaduan dan keamanan masyarakat pelbagai kaum serta agama dalam negara yang tercinta ini,” katanya.
Kelmarin, seorang pemimpin kanan Perikatan Nasional (PN) ketika berucap pada ceramah sempena PRK Parlimen Pulai didakwa mengeluarkan fatwa haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat, selain melarang pengundi memberi undi kepada individu berkenaan.
Beliau mendakwa, cara itu kononnya dapat menentang kekuasaan kerajaan Pusat diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal menangani isu ekonomi menghimpit rakyat ketika ini.
Kenyataannya itu menerima kecaman hebat, termasuk dalam kalangan pemimpin politik, termasuk Perdana Menteri kerana dianggap karut dan melampau.
Anwar menegaskan, tindakan pembangkang berkempen sehingga mengeluarkan fatwa seperti itu juga keterlaluan dan perlu dihentikan. – 4 September, 2023