JOHOR BAHRU — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terdapat kelemahan dalam sistem komunikasi kerajaan hingga mencetuskan pelbagai tohmahan dan fitnah di media sosial.
Menurut beliau, polemik politik berkenaan menyebabkan segala bantuan dan inisiatif dilaksanakan kerajaan persekutuan tidak sampai kepada golongan memerlukan.
“Bercakap Islam pakai serban tapi memfitnah. Jadi, ini saya bangkit nak sebut bahawa saya (difitnah) khianati Islam. Saya tanya di Parlimen apa yang saya khianat… tiada. Kena terima kenyataan. Betul saya nak adil dengan semua orang. Ada kelemahan kita dalam communication, saya akui.
“Sebagai contoh, bercakap soal persempadanan dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo, pihak pembangkang, pengerusi perikatan Nasional dan ramai lagi dia kata saya jual Malaysia sedangkan tandatangan itu sudah dirundingkan berbelas-belas tahun.
“Saya bincang dengan presiden Jokowi. Bukan orang politik selesaikan tapi tentera, Jabatan Pemetaan dan banyak lagi akan selesaikan,” katanya pada Program Temu Anwar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), hari ini.
Dalam pada itu, menjawab kekurangan sekolah untuk pelajar yang mengalami kurang upaya pendengaran menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Anwar berkata, isu tersebut akan segera dibawa ke Kabinet demi menjamin pendidikan golongan tersebut.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga menyatakan komitmen untuk menyelesaikan permasalahan tersebut dengan sebaiknya, walaupun menjangkakan ia akan mengambil tempoh masa yang lama untuk dilaksanakan.
“Saya pasti akan bawa perkara itu kepada Jemaah Menteri untuk kita rungkaikan serta bincangkan. Insya-Allah, kita akan memasukkan ia dalam perancangan (kerajaan) dengan kadar segera.
“Diorang (pembangkang) bising marah, oh, Anwar pasal dia Perdana Menteri, sibuk jadi selebriti jumpa mahasiswa. Ada hal ada perkara saya tahu dan tidak tahu sebagai contoh pendidikan khas ini. Saya cuba untuk belajar.
“Kenapa masa kamu menjadi kerajaan tidak cuba untuk melaksanakannya. Tiada ruginya sebagai pemimpin untuk kita bertemu dengan pelbagai pihak. Apa salah kita dengar, bukan nak setuju semua perkara namun kita dengar pandangan. Mana saya tidak boleh jawab, saya akan bawa perkara ini dalam Jemaah Menteri,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, pada tahun hadapan kerajaan akan meneliti penyelarasan gaji pensyarah dan penjawat awam yang sudah 10 hingga 12 tahun tidak dinaikkan.
“Apa yang berlaku dengan negara kita, pasal apa 12 tahun padahal peraturannya 10 tahun kena kaji. Tapi saya tak boleh komplen kerana menjadi tanggungjawab saya. Jadi kita hidupkan jawatankuasa dan kaji serta teliti apa yang sepatutnya. – 3 September, 2023