KUALA LUMPUR – Anak sulung kepada pasangan suami isteri, Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43 yang maut bersama empat anaknya dalam kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan, kelmarin masih dalam keadaan terperanjat dengan berita pilu menimpa keluarganya.
Perkara itu dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid yang berkesempatan menziarahi Abdul Rahman Amir Ruddin,19, di Kampung Parit Lapis, Parit Jawa, Muar, semalam.
Beliau turut diiringi Pegawai Daerah Muar, Hasrin Kamal Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Balang, Selamat Takim.
Menurutnya, kisah tragis itu turut memberi kesan kepada beliau memandangkan bapa remaja terbabit adalah imam di sebuah masjid di Kluang manakala ibunya pula guru agama di sebuah sekolah di Felda Kemedak, Segamat.
“Semua pasti mengetahui berita kemalangan lori treler yang mengakibatkan kematian enam sekeluarga semalam (Jumaat).
“Suaminya seorang imam (Amir Ruddin) dan isterinya (Norahimah) seorang guru KAFA… kedua-duanya amat dekat di hati saya sebab mereka adalah kakitangan di bawah portfolio saya.
“(Anak sulung pula) Masih dalam keadaan terperanjat dia tapi dia pemuda yang kuat. Kita doakan dia tabah atas ujian yang sangat besar,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Simpati dengan nasib menimpa remaja itu yang kini anak yatim piatu, Mohd Fared berkata, kerajaan Johor bersedia membantu Abdul Rahman.
“Kita akan bantu anak muda ini sekiranya ada bantuan yang dapat kita usahakan. Kita juga serahkan sumbangan tanda berkongsi kesedihan.
“Kita bacakan tahlil dan doa tadi… semoga roh kesemua Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah. Amin,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tiga beradik yang maut bersama ibu bapa dan seorang lagi adik dalam kemalangan tersebut sempat menghantar mesej WhatsApp kepada Abdul Rahman.
Abdul Rahman berkata, mesej itu diterima pada jam 3.26 petang yang dihantar menggunakan telefon bimbit ibunya.
“Kami memang keluar saing, tetapi ayah, ibu dan lima adik yang lain pergi ke Segamat untuk menghantar ibu yang mengajar di Sekolah Agama Felda Kemendak, kemudian baru hantar tiga adik yang bersekolah di Maahad Tahfiz al-Quran al-Muhammadi di Gerisek.
“Adik sempat hantar mesej guna telefon ibu, mereka ambil gambar bertiga dan tulis ‘kita orang balik dulu’ dan saya balas dengan swafoto di atas motosikal untuk pulang ke rumah nenek di Parit Lapis Darat, Parit Jawa, Muar,” katanya.
Katanya, pagi itu ibunya turut menghantar mesej memberitahu tidak jadi untuk memasak nasi Arab dan menyuruhnya makan lauk-pauk yang dimasak malam semalam.
Nahas itu turut menggorbankan empat adiknya, Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.
Kejadian berlaku selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang mereka naiki dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir yang datang dari arah bertentangan. – 3 September, 2023