Pesanan emak, gambar kenangan terakhir: Anak

Abdurrahman Amir Ruddin mengakui pada mulanya dia menganggap berita yang disampaikan oleh seorang saudaranya sebagai satu gurauan

8:08 PM MYT

 

MUAR – Pesanan ibu tak kirim lauk dan hantaran gambar pada aplikasi WhatsApp kini hanya tinggal kenangan bagi Abdurrahman Amir Ruddin, 19.

Anak sulung kepada pasangan Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhamad, 43,  yang terkorban bersama empat lagi anak mereka dalam insiden kemalangan di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Segamat petang semalam, mengakui pada mulanya dia menganggap berita yang disampaikan oleh seorang saudaranya sebagai satu gurauan. 

“Kami dari rumah di Ladang Tereh, Kluang dan keluar bersama kerana ayah nak hantar emak ke Segamat tetapi saya singgah untuk solat di rumah kawan dan bila tengok mesej tersebut, saya ingatkan gurauan, tapi rupanya benar-benar jadi. 

“Lepas tu saya cuba telefon tapi hanya deringan,” katanya yang menahan sebak. 

Bercerita lanjut, ibunya sempat meninggalkan pesanan melalui WhatsApp memberitahu tidak sempat masak nasi Arab yang sering dimasak ayahnya setiap hari Jumaat.

“Ibu cakap tak kirim lauk dan suruh saya makan lauk sambal semalam kerana tak masak nasi Arab sebab mesyuarat ayah ditangguh. Saya balas kata baik bos. 

“Lepas itu dalam pukul 3.30 petang mereka hantar gambar dan berkata kami pergi dulu. Jadi memang betul mereka pergi dulu,” katanya yang menjelaskan sebelum ini mereka tidak pernah menghantar gambar jika pulang ke Segamat. 

Terdahulu, jenazah keenam-enam beranak yang maut dalam insiden kemalangan tersebut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ubudiah, Parit Jawa di sini. 

Mangsa yang terkorban adalah pasangan suami isteri Amir Ruddin dan Norahimah serta empat anaknya iaitu Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah,13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5. 

Seorang lagi anak pasangan itu yang menaiki kenderaan sama, Abdullah, 15, masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat. – 2 September, 2023


Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related