KUALA LUMPUR – Persoalan mengapa aktor dan pengacara terkemuka Indonesia, Raffi Ahmad begitu teringin bertentang mata dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini terjawab.
Rupa-rupanya, Raffi dan isterinya, Nagita Slavina menjalin kerjasama dengan kelab peminat PMX untuk menganjurkan acara Temu Anwar yang dijadual berlangsung di Grand Emerald Ballroom, Redtop Hotel & Convention Center Jakarta, 5 September ini.
Melalui perkongsian di media sosialnya, Raffi memaklumkan bahawa acara itu mempunyai tujuan lebih terangkum dan tidak hanya memfokuskan dalam kalangan mahasiswa, tetapi juga untuk golongan muda dari Malaysia serta Indonesia.
“Kami ingin mengajak teman-teman bergabung dalam acara ini di mana kita dapat saling berwacana, berbagi pandangan dan mengajukan pertanyaan langsung kepada bapak Anwar.
“Semua peserta, baik dari Malaysia maupun Indonesia, diharap hadir dalam jumlah besar agar acara ini semakin berkesan dan bermanfaat bagi semua peserta.
“Jangan lewatkan kesempatan berharga ini untuk berinteraksi dan belajar dari pesohor serta Pak Anwar,” tulisnya.
Sementara itu, pihak pengurusan Raffi Ahmad di Malaysia, Iman Tang ketika dihubungi Scoop berkata, acara Temu Anwar dicetuskan untuk membincangkan pelbagai aspek mengenai hubungan dua hala negara di antara Malaysia dan Indonesia.
“Ia turut membuka peluang karyawan nusantara dalam aspek ekonomi dan pembangunan negara, selain memperkenal gagasan Asian Renaissance dan Malaysia Madani.
“Pada masa sama, ia kesempatan mempromosi Malaysia kepada pempengaruh di negara tetangga tersebut dan sebagai tanda terima kasih kepada netizen Indonesia yang menjadikan Malaysia sebagai tempat kedua, selain merapatkan silaturahim perhubungan dua negara nusantara di arena selebriti sukan,” katanya.
Terdahulu, Raffi menerusi Instagram story mencetuskan tanda tanya apabila beliau memberitahu ingin bertemu Anwar. – 2 September, 2023