DBKL kunci air penyewa degil langsai sewa, ‘sampai bila nak tunggak bayaran?’

Tindakan itu mengecewakan kerana dalam keadaan ramai menanti mendiami rumah PA, PPR, masih ada penyewa culas walaupun diberi peluang berbincang

4:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terpaksa melaksanakan Operasi Kunci Air (OKA) ke atas penyewa Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR), selepas mereka masih culas membayar tunggakan sewa masing-masing walaupun pelbagai peringatan serta peluang diberikan.

Menurut DBKL, operasi dilaksanakan menerusi Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar (JPKKB) itu juga diambil selepas penyewa terbabit berdegil untuk tampil berunding bagi menyelesaikan tunggakan.

Katanya, JPKKB sudah melaksanakan operasi itu di dua kawasan, iaitu PPR Perkasa dan PPR Seri Alam, selain meneruskannya di kawasan lain.

“Isu penyewa PA dan PPR culas membayar sewa bukanlah isu baru. Berbagai alasan diberi dalam keadaan DBKL sudah membuka ruang untuk mereka ini datang berbincang.

“Dah bagi ruang tapi tak mahu pula datang berbincang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

DBKL memaklumkan, beberapa kaedah sudah dilakukan sebagai peringatan, seperti mengeluarkan hebahan serta notis, sesi bersemuka dan pembukaan kaunter bergerak di kawasan PA dan PPR.

Jelasnya, ia bertujuan memudahkan penyewa berunding untuk menstrukturkan bayaran bagi menjelaskan tunggakan.

Pembukaan kaunter bergerak pula, katanya, bagi memudahkan urusan pembayaran penyewa, terutama yang mempunyai tunggakan.

“Setelah segala usaha dibuat, tindakan kunci air dikenakan ke atas penyewa yang masih berdegil untuk tampil berunding bagi menyelesaikan tunggakan,” katanya.

Melalui kenyataan sama, DBKL memaklumkan, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan memperluaskan OKA di unit bertunggakan di semua kawasan PA dan PPR, bagi mengesan penyewa yang culas membayar sewa.

Justeru, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengingatkan penyewa yang mempunyai tunggakan bayaran sewa dan belum dikenakan tindakan, segera menyelesaikan bayaran tertunggak terbabit.

Tegasnya, ramai di luar yang menanti bertahun untuk mendiami rumah PA atau PPR diuruskan DBKL, tetapi masih tidak mendapat peluang berkenaan.

“Anda yang dah dapat, culas pula membayar sewa. Jelaskan tunggakan sebelum tindakan kunci air dikenakan kerana pasti akan menimbulkan kesulitan nanti.

“Bayar sewa, jelas tunggakan, elak tindakan,” katanya. – 2 September, 2023

Topics

 

Hangat

Let us not forget our unsung heroes – Ravindran Raman Kutty

We must recognise the many ordinary Malaysians doing extraordinary things

Tiong King Sing gets feet wet to aid victims as over 1,000 evacuated in Sarawak floods

Women, Family & Community Development Minister Datuk Seri Nancy Shukri says assistance was immediately mobilised on first day of Chinese New Year

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Related