Ustaz Abdul Somad terima sambutan luar biasa penduduk Sandakan, lebih 20,000 hadir

Orang ramai mula berkumpul di Padang Bandaran Sandakan sejak jam 3 petang untuk mendengar kuliah agama pendakwah terkenal dari Indonesia itu

3:25 PM MYT

 

SANDAKAN – Lebih 20,000 penduduk Sandakan berkumpul di Padang Bandaran di sini untuk menghadiri program bersama pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara, malam kelmarin.

Jumlah hadirin itu antara yang tertinggi pernah direkodkan untuk program yang berlangsung di padang tersebut.

Walaupun hujan, hadirin tidak berganjak dari tempat masing-masing dan mereka turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah.

Jurugambar rasmi program itu, Ahmad Jimmy tidak menyangka program tersebut akan mendapat sambutan luar biasa.

“Saya lahir dan membesar di Sandakan. Belum pernah lagi saya lihat orang begitu ramai berkumpul di tempat yang sama. Semasa pilihan raya pun orang tidak ramai seperti ini,” katanya.

Lebih 20,000 penduduk Sandakan berkumpul di Padang Bandaran untuk menghadiri program bersama pendakwah terkenal dari Indonesia, Ustaz Abdul Somad Batubara – Gambar ihsan Abdul Jimmy, 2 September, 2023

Program Tabligh Akhbar yang bermula pada jam 8 malam dan berakhir dua jam kemudian itu, menyaksikan Ustaz Abdul Somad menyampaikan kuliah agama.

Bagaimanapun, orang ramai mula berkumpul di padang seawal jam 3 petang dan kawasan di sekitarnya sudah penuh sejam kemudian.

Salah seorang hadirin, Mohd Zulkifli yang hadir bersama bapanya berkata, penduduk Sandakan amat teruja apabila mengetahui Ustaz Abdul Somad akan berkunjung ke daerah itu.

“Ustaz Abdul Somad adalah ikon Islamik nusantara yang mana ceramah beliau sangatlah sukar untuk ditonton secara bersemuka.

“Selain itu, ceramah yang disampaikan biasanya lebih mesra kepada semua. Tapi, saya juga tidak sangka begitu ramai yang akan turun,” katanya.

Walaupun hujan, hadirin tidak berganjak dari tempat masing-masing dan mereka turut menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah – Gambar ihsan Abdul Jimmy, 2 September, 2023

Semasa kuliah berlangsung, Ustaz Abdul Somad sempat berkongsi perasaan terharunya terhadap sambutan penduduk Sandakan dan menekankan kepentingan keamanan serta kesejahteraan bersama.

Pengerusi Masjid Wasatiyyah, Batu Sapi Sandakan, Mohd Zharif Aizat Samsudin berkata, beliau tidak menjangka program tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk setempat.

Pada masa sama, beliau turut terharu dengan sambutan orang ramai memandangkan program berkenaan antara hasrat Allahyarham bapanya selaku mantan pengerusi masjid tersebut yang mahu melihat orang ramai mendapat manfaat daripada program seperti itu.

“Buat pertama kali dalam sejarah di Sandakan kita dapat mengumpulkan warga Sandakan untuk mendengar ceramah dan menuntut ilmu daripada Ustaz Abdul Somad.

“Jika dilihat dari mata kasar dan berdasarkan kapasiti padang, yang hadir dalam 15,000 orang. Tapi saya anggarkan kira-kira 20,000 hingga 25,000 masyarakat hadir kerana jalan sehingga pejabat Majlis Perbandaran Sandakan turut penuh,” katanya.

Selain lokasi itu, Ustaz Abdul Somad turut menyampaikan kuliah Subuh pada Program Qiam dan Kuliah Subuh Perdana di Masjid Wasatiyyah Batu Sapi Sandakan sebelum bertolak ke Kota Kinabalu, pagi semalam.

Hari ini, beliau dijadualkan menyampaikan kuliah agama di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dekat Kota Kinabalu, di mana lebih 5,000 hadirin memenuhi dewan tersebut.

Ustaz Abdul Somad turut akan berkunjung ke Tawau selepas ini. – 2 September, 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Private sector in the dark over govt’s drug decriminalisation plans, say experts

Health professionals urge broader engagement with relevant stakeholders ahead of reforms to decriminalise drug use to ensure effective implementation of initiative

Related