JOHOR BAHRU – Tindakan Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon ‘kitar semula’ bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Pulai dilihat mengguris hati akar umbi gabungan itu, menyebabkan mereka bertekad mahu mengalihkan sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Pengundi Parlimen Pulai, Nordin Ismail, 55, berkata, PH seharusnya mencalonkan muka baharu bagi mewakili kawasan itu, bukannya mempertaruhkan Naib Pengerusi Amanah, Suhaizan Kayat yang sudah bertanding buat kali ketujuh.
Menurutnya, Suhaizan juga tidak mempunyai aura atau kredibiliti seperti dimiliki penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub walaupun beliau adalah Setiausaha Politik kepada pemimpin tersebut.
“Allahyarham seorang yang lembut, tidak pernah lekang turun padang bagi mendengar permasalahan masyarakat di Pulai. Penduduk di sini memilih Salahuddin atas kapasiti sebagai individu, bukannya sebab beliau dari Amanah. Sukar untuk beliau digantikan.
“Justeru, dengan pencalonan Suhaizan sebagai calon kitar semula, selain kerajaan tiada solusi holistik dalam menjaga kebajikan rakyat serta menyelesaikan kos sara hidup, saya sangat kecewa dan saya tekad mengalihkan sokongan saya kepada,” katanya kepada Scoop.
Dalam pada itu, pesara bank, Hamzah Sanusi, 60, yakin PN mampu mencapai kemenangan di Parlimen Pulai kerana pengundi khususnya penyokong Umno dijangka mengalihkan sokongan mereka kepada pembangkang.
Hamzah yang juga bekas ahli Umno menegaskan, gelombang itu berikutan kekecewaan hampir semua akar umbi terhadap tindakan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Selama ini, ahli Umno dididik memangkah Barisan Nasional (BN), tapi kali ini tiada logo parti selain mereka takut disindir ahli PAS yang mengatakan Umno-BN sudah membela DAP-PH yang didoktrin sekian lama dalam Umno.
“Zahid dilihat masih tidak sedar diri, hanya mahu kekal berkuasa sehingga tidak sedar kekalahan Umno pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) disebabkan strateginya.
“Namun beliau sampai sekarang masih dengan angkuhnya tidak mahu menerima teguran, sehingga ada yang digantung serta dipecat. Beliau seharusnya berundur,” katanya.
Bagaimanapun, Tasnim Ismail, 30, berpendapat, PH berpeluang mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Pulai, jika PN hanya fokus berkempen menggunakan media sosial berbanding turun padang bertemu masyarakat setempat.
“PH ada kelebihannya. Suhaizan merupakan Setiausaha Politik kepada Salahuddin dan beliau sudah turun ke kawasan sering dikunjungi Allahyarham sehingga ramai orang kampung mengenalinya.
“Manakala PN, saya tidak kenal calonnya tetapi apa yang dikhuatirkan pengundi di sini adalah adakah penggantinya nanti sempoi seperti arwah yang memang turun padang?
“Arwah juga mudah dibawa berbincang, tidak kekok minum dekat kedai kopi dan masalah dihadapi penduduk di sini selalunya akan dipastikan dapat diselesaikan oleh beliau,” katanya. – 2 September, 2023