MUAR – Pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram berharap agar orang luar yang turun berkempen di kawasan berkenaan supaya tidak memainkan isu negatif khususnya yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Ini kerana mereka bimbang ia boleh menyebabkan perpecahan dalam kalangan rakyat di Johor.
Salah seorang pengundi, Rofiki Misnan, 22, berkata, apa yang diharapkan ialah supaya semua pihak berpolitik dengan matang.
“Anasir dari luar ini kita bimbang, dari Johor aman dan rakyatnya bersatu padu menjadi tegang dan tidak tenteram disebabkan sesuatu isu.
“Cukuplah… sila berpolitik secara matang. Tinggalkan perkara atau isu yang hanya untuk menyerang peribadi. Seharusnya, tawarkan apa pembangunan holistik yang boleh mereka lakukan di Simpang Jeram, selain menjaga kebajikan rakyat,” katanya ketika ditemui Scoop.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan pada 9 September ini berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Dalam pada itu, seorang pesara kerajaan, Roslan Sattu, 57, berkata dia tidak kisah untuk keluar mengundi lagi pada 9 September ini kerana ia merupakan tanggungjawab dan amanah yang boleh membawa Simpang Jeram ke arah kemakmuran.
Meskipun negara baru selesai mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada November tahun lalu, namun ia bukan halangan kepadanya kerana perkara itu amat penting dilakukan oleh setiap warganegara Malaysia dengan mengambil bahagian dan mengundi mana-mana calon yang difikirkan sesuai untuk menjadi wakil rakyat.
“Kita mahu buat pemilihan baharu dan sebagai pengundi, kita perlu buat pilihan terbaik yang boleh menjamin kebajikan di kawasan ini.
“Kalau memang calon berkenaan boleh memerintah, rakyat yang akan pilih, mereka boleh menilai, bukan (calon) yang menilai diri sendiri dengan mempunyai keyakinan untuk menang pada pilihan raya,” katanya ketika ditemui Scoop.
Sementara itu, seorang mahasiswa Aizat Aminurrashid, 21, pula ketika ditanya mengenai pengurangan kempen yang dilaksanakan oleh calon, berkata parti politik sekarang lebih memfokus untuk berkempen di media sosial berbanding bertemu masyarakat setempat.
Menurut Aizat, platform berkenaan mula digunakan secara meluas oleh parti politik kerajaan dan pembangkang sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Itu antara sebab kempen kurang diadakan. Mereka lebih memfokuskan kepada media sosial. Saya juga walaupun dilihat terasa menyusahkan sikit untuk turun mengundi kerana belajar di UiTM Kelantan namun, saya tidak kisah kerana itu tanggungjawab dan hak saya sebagai rakyat.
“Sehubungan itu, saya mengharapkan wakil rakyat yang dipilih nanti, buatlah kerja dengan bersungguh-sungguh. Jangan curi tulang, kalau orang dah pilih untuk jalankan tanggungjawab sila laksanakannya,” katanya. – 30 Ogos, 2023