KUALA LUMPUR — Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata tindakan bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Ahmad Dusuki Abdul Rani menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan menunjukkan berakhirlah episod fitnah ke atas beliau terutama terhadap tuduhan bahawa aset Tabung Haji dijual kepada orang bukan Islam.
Sambil melahirkan kesyukuran kerana namanya telah dibersihkan, Mujahid berkata dengan tindakan itu juga, ia membuktikan Dusuki akhirnya akur bahawa aset Tabung Haji tidak dijual kepada orang bukan Islam.
“Kos keseluruhan yang perlu dibayar oleh Dusuki kepada saya berjumlah RM23,000 iaitu merangkumi kos RM11,000 di Mahkamah Sesyen, RM7,000 (di Mahkamah Tinggi) dan RM5,000.00 di Mahkamah Rayuan,’’ katanya dalam hantaran di Facebooknya, hari ini.
Saman fitnah itu berikutan ciapan Mujahid menerusi Twitter pada 22 November 2020 melibatkan isu penjualan asset Tabung Haji (TH). – 29 Ogos, 2023