KUALA LUMPUR – Cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi Kelas B2 kepada B secara automatik, tidak patut dilaksanakan dan tidak memberi faedah sekiranya melihat kepada kadar kemalangan tinggi membabitkan penunggang kenderaan itu.
Pakar pengangkutan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Law Teik Hua berpendapat, jika cadangan itu dilaksanakan, ia hanya sekadar memberi kegembiraan kepada anak muda yang mahu menunggang motosikal berkuasa besar.
“Saya rasa itu tidak patut (dilaksanakan), tidak nampak apa faedah yang kita boleh dapat daripada polisi ini. Jika kita tengok B2 untuk motosikal berkuasa rendah, B untuk motosikal berkuasa tinggi, cara kita nak kemudi motosikal berkuasa besar lebih susah.
“Ini hanya gembirakan pemegang lesen B2 sebab bila naik taraf lesen tidak perlu buat bayaran atau menduduki peperiksaan dan ujian.
“Saya dalam bidang ini 22 tahun, tapi statistik kemalangan masih tak berubah dengan 60 peratus kemalangan membabitkan penunggang motosikal, jadi soal keselamatan penunggang yang patut ditekankan, bukan semata memberi kemudahan kepada mereka,” katanya kepada Scoop hari ini.
Justeru, Teik Hua mencadangkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melihat semula kurikulumnya, terutama dalam aspek keselamatan pemanduan susulan perubahan keadaan dan pertambahan kenderaan, bukan dengan mempermudahkan pemberian lesen.
“Adakah silibus sedia ada dan peperiksaan memadai? Pandangan saya ada satu komponen yang memang kita tidak ada, iaitu hazard perception test bagi menguji sama ada pemandu peka terhadap situasi bahaya trafik dan jalan raya.
“Ini sudah banyak dilaksanakan di negara maju seperti Jepun, United Kingdom dan Australia.
“Jadi JPJ perlu lihat semula kekurangan dalam kurikulum dan ujian, malah mengenalpasti mana tidak perlu atau tidak lagi sesuai dengan keadaan sekarang, ia boleh dibuang atau keluarkan dari kurikulum,” katanya.
Ditanya kenapa pakar pengangkutan tidak mencadangkan penambahbaikan dalam kurikulum pemanduan, beliau berkata, pihak Kementerian Pengangkutan (MoT) belum pernah membuat permohonan bagi mendapatkan pandangan pakar.
“MOT tak pernah tanya pun pandangan pakar dalam hal berkaitan atau mungkin tidak membaca perkongsian dan pandangan diberikan pakar di media.
“(Jika) mereka umum perkara seperti (naik taraf lesen) ini, ia hanya untuk menggembirakan orang muda, tapi perlu ingat perkara ini membabitkan nyawa apatah ramai golongan muda menunggang motosikal,” katanya.
Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal bagi Kelas B2 kepada B secara automatik, bakal dibawa kepada MoT untuk diteliti terlebih dahulu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, tidak ada masalah berhubung cadangan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memang memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar mahu cadangan terbabit diteliti sebaik mungkin.
“Ini kerana ia boleh menimbulkan implikasi kepada sistem keselamatan jalan raya negara.
“Langkah itu boleh menyebabkan sistem pengambilan lesen kenderaan di negara ini, dilihat mundur kerana membabitkan kompetensi seseorang penunggang,” katanya. – 28 Ogos, 2023