KLANG – Pemuda yang diislamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sebuah masjid di sini sudah berniat untuk memeluk Islam sejak 10 tahun lalu namun tidak mendapat kebenaran ibunya ketika itu.
Bagaimanapun, Muhammad Anwar Kartiban, 27, dari Sungai Petani, Kedah berkata, hasratnya itu termakbul selepas memaklumkan hajatnya untuk turut berkahwin dengan seorang wanita beragama Islam kepada ibu bapanya.
“Saya sejak umur 17 tahun sudah mula fikir untuk peluk Islam, tapi saya tak dapat masuk, masa itu mak saya tak bagi.
“Kali ini (bila) umur dah 27 tahun baru mak saya bagi masuk Islam, sebab lepas mak saya tengok perempuan ini (bakal isteri) yang saya mahu nikah dan cinta (barulah) bapa dan mak setuju,” katanya kepada Scoop hari ini.
Anwar yang bekerja sebagai pembantu kedai di Banting, turut memaklumkan keinginannya memeluk Islam bukan atas paksaan sesiapa sebaliknya dengan rela hati.
Beliau juga berbesar hati serta berterima kasih kepada Perdana Menteri atas kesudian untuk mengislamkannya.
“Saya pun terkejut (apabila) tahu Perdana Menteri ada di sini (Masjid Ar-Rahimiah).
“Saya rasa happy (gembira) masa itu (lafaz syahadah) tengok PM depan-depan, tak pernah tengok depan-depan dan dapat masuk Islam. Terima kasih banyak kepada PM yang Islamkan saya,” katanya yang turut memaklumkan kepada Perdana Menteri untuk menggunakan nama Anwar.
Tambahnya, bakal bapa mertuanya banyak membantu Anwar menguruskan proses pengislamannya bersama Perkim yang dilakukan sejak seminggu sebelum memeluk Islam.
Anwar juga sudah mendapat kad perakuan memeluk agama Islam yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada Jumaat lalu, kira-kira seminggu selepas mengucap dua kalimah syahadah.
“Selepas ini (saya) kena ikut kursus bimbingan sebagai saudara baharu dalam tempoh enam bulan, selepas itu baru buat (perancangan) majlis untuk nikah,” katanya.
Sebelum ini tular rakaman video Perdana Menteri mengislamkan saudara baharu di Masjid Ar-Rahimiah, di sini, pada 18 Ogos lalu.
Dalam rakaman tersebut, Perdana Menteri dipercayai mengajar saudara baharu itu mengucap dua kalimah syahadah sebelum disambut laungan takbir oleh jemaah yang hadir. – 28 Ogos, 2023