PRK Johor: Polis lulus tujuh permit kempen, ceramah, nasihat jangan lakukan khianat

6:37 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis Johor meluluskan tujuh permit kempen serta ceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Jurucakap Media PRK Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Superintendan Ibrahim Mat Som berkata, enam permit itu diluluskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara bagi kawasan Parlimen Pulai, manakala satu IPD Muar untuk DUN Simpang Jeram.

Menurutnya, setakat ini, tiada sebarang kertas siasatan dibuka pihak berkuasa di negeri berkenaan.

“Polis Johor menasihatkan semua parti dan kumpulan penyokong menghormati antara satu sama lain serta tidak melakukan kerosakan terhadap poster, kain rentang dan bendera dengan mencabut atau membakarnya.

“Perbuatan itu adalah khianat dan menyalahi undang-undang serta boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, sekiranya timbul sebarang permasalahan, mana-mana pihak boleh merujuknya kepada polis untuk tindakan lanjut berlandaskan undang-undang sedia ada.

“Polis Johor meminta semua calon yang ingin mengadakan kempen pilihan raya, agar mengikuti undang-undang di bawah Seksyen 24B(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Johor pada 9 September.

Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru pada PRK berkenaan, iaitu antara Pakatan Harapan (PH) yang mencalonkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kayat dengan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dan Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL), Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas).

DUN Simpang Jeram turut menyaksikan persaingan tiga penjuru antara bekas jurutera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Nazri Abd Rahman mewakili PH; pakar bedah, Dr Mazri Yahya (PN) dan S. Jeganantha (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalui akibat pendarahan otak. – 27 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related