
KLANG — Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Hushim Salleh berkata pengislaman saudara baharu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadikan isu hanya kerana beliau Perdana Menteri, sebaliknya jika ia dilakukan oleh individu lain sudah pasti tiada yang akan bising.
Malah kata Hushim, beliau juga tidak mempunyai niat lain terhadap usaha untuk mengislamkan saudara baharu itu kecuali hanya kerana Allah SWT.
“Saya hamba Allah dan Datuk Seri Anwar juga hamba Allah, cuma dia PM itu yang jadi isu, kalau dia imam masjid ke, pasti tidak jadi isu.
“Jadi janganlah kita politikkan perkara ini walau berbeza pandangan politik tapi kita sebagai orang Islam (ucapkan) satu syahadah.
“Bila kita sebagai Islam, kita tak boleh kata Anwar begini, begitu… itu dosa, sebab Perdana Menteri mengislamkan orang dan itu sunnah Rasullullah SAW,” katanya.

Sebelum ini tular rakaman video Perdana Menteri mengislamkan saudara baharu di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang, Selangor.
Dalam rakaman tersebut, Perdana Menteri dipercayai mengajar saudara baharu itu mengucap dua kalimah syahadah sebelum disambut laungan takbir oleh jemaah yang hadir.
Berikutan itu, Hushim menerusi video yang dikongsi oleh pengguna Twitter @ReenGaston menjelaskan bahawa kesediaan Anwar untuk mengislamkan saudara baharu itu adalah atas permintaannya.

Mengulas lanjut, Hushim berkata perkara itu juga tidak perlu menjadi polemik kerana ia bukan satu masalah, malah semakin ramai yang menyokong apa yang dilakukan Perdana Menteri.
Menjelaskan mengenai apa yang berlaku di masjid berkenaan pada hari tersebut, Hushim berkata beliau berada di situ untuk memberikan kaunseling kepada waris mangsa nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 18 Ogos lalu dan tidak mengetahui bahawa Anwar ke masjid berkenaan.
Selain diminta oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) untuk memberikan kaunseling, Hushim juga bertugas untuk mengislamkan saudara baharu, Muhammad Anwar di masjid berkenaan iaitu Masjid Ar-Rahimiah, di sini.
“Saya dengar pengumuman dari pihak masjid kata Perdana Menteri akan solat kat sini, bila dah jam 1.10 petang tu saya masuk masjid, duduk saf belakang bukan sebelah Perdana Menteri pun.
“Lepas solat saya approach (mendekati) Perdana Menteri tapi masa tu dia kata nak lari ke program lain di Kuala Lumpur. Tapi saya pujuk, minta dua minit sahaja dan kemudian Perdana Menteri setuju kata okey,” katanya.
Tambah beliau, untuk mengislamkan seseorang tidak ada syarat cuma yang penting adalah individu terbabit seorang muslim.
“Saya rasa dalam Perlembagaan pun tidak termaktub kata kalau jadi Perdana Menteri tidak boleh Islamkan orang. Setiap orang Islam berhak mengislamkan orang lain, itu sebenarnya,” katanya. – 27 Ogos, 2023