KUALA LUMPUR – Adakah anda tidak berpuas hati dengan silibus pembelajaran anak yang terlalu tinggi hari ini?
Kini, anda berpeluang mengemukakan pandangan dalam usaha Kementerian Pendidikan (KPM) membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu menerusi pautan https://bit.ly/KurikulumKita2027.
Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 itu dilaksanakan bermula kelmarin sehingga 15 September depan.
Ia susulan rungutan pelbagai pihak mengenai subtopik dalam kurikulum sekolah yang didakwa tidak wajar, memandangkan silibus yang diperkenalkan ketika ini dilihat agak tinggi dan tidak bersesuaian dengan tahap murid.
Tinjauan itu terbahagi kepada enam bahagian dengan Bahagian A memerlukan responden mengisi profil mereka iaitu jantina, umur, tahap pendidikan tertinggi dan status pekerjaan.
Manakala Bahagian B pula bertanyakan pandangan responden mengenai kurikulum semasa dengan menanda pilihan mengikut skala yang diberikan (sangat tidak setuju, tidak setuju, setuju, sangat setuju dan tidak berkenaan).
Selain itu, dalam bahagian tersebut turut disediakan ruang bagi komen tambahan.
Antara soalan dikemukakan termasuk sama ada bilangan mata pelajaran, kandungan mata pelajaran dan masa bagi setiap mata pelajaran mencukupi.
Bahagian C pula menuntut responden menandakan pilihan jawapan bagi harapan terhadap kurikulum masa hadapan.
Dalam Bahagian D pula, ia bertanyakan mengenai kandungan kurikukum masa hadapan dengan pilihan skala diberikan.
Antara soalan dikemukakan berkait pembelajaran tentang budaya dan agama yang berbeza, pendidikan inklusif, isu alam sekitar dan kelestarian.
Dalam pada itu, Bahagian E membabitkan kurikulum masa hadapan dan responden boleh memilih lebih daripada satu pilihan jawapan.
Bahagian F yang juga bahagian terakhir menuntut responden memberi pandangan dan cadangan tambahan terhadap kurikulum masa hadapan di ruangan disediakan.
Terdahulu, KPM memaklumkan sedang membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu dengan mengambil kira pandangan pakar, pemegang taruh dan masyarakat umum sebagai langkah ke hadapan kementerian itu.
“Setakat ini seramai 1,600 individu terdiri daripada guru, pensyarah, ibu bapa, badan bukan kerajaan (NGO) dan industri dilibatkan dalam 21 sesi libat urus dan pelaksanaan Konvesyen Kurikulum,” katanya.
Tambah KPM, pihaknya menghargai pandangan dan cadangan pemegang taruh dan masyarakat umum berkaitan kurikulum persekolahan yang sedang dilaksanakan di semua sekolah KPM termasuk Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
“KPM sentiasa berusaha untuk terus memastikan murid dan guru berada dalam ekosistem yang membangun potensi akademik dan sahsiah,” katanya. – 26 Ogos, 2023