Johor kubu Umno, tanggapan Sanusi hanya strategi tarik pengundi sokong PN

PN bergantung kepada sokongan pengundi Melayu dan agak sukar untuk mereka memenangi PRN Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram

4:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tanggapan bahawa Umno sudah lemah dan akan berkubur di Johor hanya strategi dan naratif Perikatan Nasional (PN) untuk menarik sokongan pengundi Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Madya Azmi Hassan berkata, masalah PN adalah kerana kebergantungan mereka kepada pengundi Melayu adalah hampir total.

Beliau berkata, atas faktor itu juga dilihat agak sukar untuk PN memenangi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“(Umno akan berkubur) Itu strategi panglima perang Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) untuk menggambarkan Umno sudah lemah di Johor dan mengajak pengundi Melayu mengundi PN.

“Memang saya jangkakan pengundi Melayu akan mengundi PN, tapi banyak mana peralihan itu kita tidak tahu. Tapi hakikatnya di Parlimen Pulai dan juga DUN Simpang Jeram, ia 50-50 di antara pengundi Melayu dan bukan Melayu,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata, jika dilihat trend di mana PN menang kerusi, pengundi Melayu mesti lebih 60 peratus, sebab itu sukar bagi mereka memenangi lebih banyak kerusi di kawasan pengundi bukan majoriti Melayu.

“Jadi Pulai hanya 43 peratus (pengundi). Di Simpang Jeram pula 48 peratus pengundi Melayu, sukar bagi PN untuk memenangi kedua-dua kerusi ini.

“Untuk menarik pengundi Melayu itu boleh tapi tak banyaklah sebab bukan sampai 60 peratus pengundi Melayu,” katanya.

Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi bayangan parti berusia lebih tujuh dekad itu akan terkubur disebabkan gelombang PN yang semakin melebar – Gambar Facebook, 27 Ogos, 2023

Sementara itu, pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Mazlan Ali pula menyifatkan Johor sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Jika mereka kata Umno akan berkubur di Johor ini susahlah. Itu hanya naratif politik pihak lawan.

“Johor ini berbeza. Di Pulai kita lihat pengundi Cina hampir 40 peratus di Simpang Jeram. Tidak semua pengundi Melayu akan pergi ke PN kerana Johor adalah kubu kuat Umno,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjangkakan saingan lebih sengit bakal berlaku di DUN Simpang Jeram.

“Di Simpang Jeram ketika PRN lalu, orang Cina keluar tidak sampai separuh, 40 peratus sahaja, mungkin sebab Covid-19 ketika itu. Tapi kalau kali ini dalam 85 peratus pengundi Cina turun, maka gabungan Pakatan Harapan (PH) dan BN akan selesa sedikit.

“Namun undi Melayu akan terpecah, ada yang akan sokong PN dan ada yang kekal sokong BN. Simpang Jeram juga berdekatan Pagoh (kawasan Tan Sri Muhyiddin Yassin), jadi mungkin ada pengaruh Muhyiddin. Kawasan DUN ini dulu dikenali sebagai Sungai Abong dan PAS pernah menang di sana,” katanya.

Kelmarin, Sanusi yang juga Pengerusi PN Kedah menyifatkan Johor bukan lagi kubu kuat Umno.

Beliau turut memberi bayangan parti berusia lebih tujuh dekad itu akan terkubur disebabkan gelombang PN yang semakin melebar.

Namun Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi enggan melayan provokasi itu dan berkata, beliau tidak mempunyai hak untuk mempertikaikan ‘kegilaan’ Menteri Besar Kedah itu yang sering dan gemar membuat provokasi terhadap BN dan Kerajaan Perpaduan.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September ini, masing-masing bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, PN dan Bebas. – 27 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

DBKL slices up Havoc Food Festival in Setapak as traffic complaints boil over

Nik Nazmi steps in after residents complain of congestion, authorities shut down unlicensed event

In latest book ‘Saving the Planet’, Nik Nazmi makes urgent call for climate action

New book offers a Malaysian perspective on the global environmental crisis, highlighting economic and social stakes of climate change

Sports budget allocation: is popularity winning over performance in 2025 funding?

As RM15 million goes to football and RM20 million to e-sports, critics question whether funding priorities reflect merit or strong networks in Malaysian sports

Related