KUALA LUMPUR — Seramai 10 individu telah dipanggil bagi merakam percakapan untuk membantu siasatan berhubung kemalangan pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mereka yang dipanggil termasuk individu yang mempunyai video rakaman kejadian, syarikat penerbangan dan wakil Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Polis kini menunggu perkembangan siasatan Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU),’’ katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Nahas pada 17 Ogos lalu mengorbankan 10 individu membabitkan dua kru pesawat dan enam penumpang manakala dua lagi adalah seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta.
Pesawat itu terhempas dua minit sebelum dijangka mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
CAAM memaklumkan pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sebelum kemalangan itu. – 26 Ogos, 2023