Malaysia, Indonesia timbang semula cadangan talian sambungan kuasa Sumatera-Semenanjung

MoU tersebut menunjukkan kemajuan penting yang dicatatkan oleh kedua-dua negara dan bakal mewujudkan kerjasama sama-sama menang

9:08 PM MYT

 

BALI – Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menjalankan bersama kajian kebolehlaksanaan bagi cadangan talian sambungan kuasa antara Sumatera Indonesia-Semenanjung Malaysia. 

Bagi tujuan itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Syarikat Elektrik Negeri Indonesia PT PLN (Persero) dan Pusat Tenaga Asean (ACE) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memulakan kajian kebolehlaksanaan talian sambungan kuasa tersebut, yang sekiranya menjadi kenyataan, akan menjadi sambungan kuasa rentas sempadan dasar laut yang pertama di rantau ini.

MoU tersebut ditandatangani semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga Asean ke-41 (AMEM-41), yang disaksikan oleh menteri-menteri serantau dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, mewakili Malaysia.

Nik Nazmi berkata, idea talian sambungan kuasa Sumatera Indonesia-Semenanjung Malaysia telah dicadangkan sejak beberapa tahun lalu, tetapi kemudian kurang diberi perhatian.

Justeru, beliau berkata, MoU tersebut menunjukkan kemajuan penting yang dicatatkan oleh kedua-dua negara dan bakal mewujudkan kerjasama sama-sama menang.

“Kini, dengan harga tenaga yang lebih tinggi dan permintaan (yang semakin meningkat) terhadap tenaga boleh baharu (TBB), kami percaya talian sambungan kuasa itu berdaya maju,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian MoU tersebut, di sini, hari ini.

Kajian itu akan meliputi kebolehlaksanaan ekonomi, pelaburan dalam kemudahan yang diperlukan, sokongan pembangunan, pelaksanaan dasar, impak awal alam sekitar serta aspek teknikal.

Selain itu, Sabah Electricity Sdn Bhd, ACE dan PT PLN (Persero) juga memeterai MoU untuk mewujudkan kajian kebolehlaksanaan dengan skop yang sama untuk wilayah Kalimantan-Sabah.

Matlamatnya adalah untuk mencapai Kesalinghubungan Jaminan Tenaga Mampan di kawasan Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMB).

“MoU untuk kesalinghubungan Sabah dan Kalimantan juga sama. Sabah mempunyai keperluan yang besar, manakala Indonesia juga sedang membina infrastrukturnya untuk Kalimantan dengan penubuhan ibu kota baharunya. Bangunan pertama akan diduduki seawal tahun depan.

“Jadi, itu akan menjadi satu lagi faktor penting yang memberi rangsangan kepada projek tersebut,” katanya.

Nik Nazmi berkata, Sabah juga sedang mengusahakan loji TBB baharu dengan lebih banyak bekalan tenaga dijangka berada dalam pasaran

“Bermula tahun depan, kita akan serahkan tenaga itu kepada kerajaan negeri. Jadi, kita nak pastikan infrastruktur elektrik, rancangannya benar-benar mencapai standard (untuk menyokong) permintaan bagi Sabah, khususnya di bahagian pantai timur,” katanya.

Kajian kebolehlaksanaan itu dijangka mengambil masa beberapa tahun untuk disiapkan.

TNB juga menjalin MoU dengan SP PowerAssets Ltd (SPPA) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan teknikal mengenai cadangan pembangunan kemudahan sambungan kuasa kedua antara Semenanjung Malaysia dan Singapura.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, MoU itu berfungsi sebagai asas untuk penyepaduan serantau yang lebih meluas bagi tenaga boleh baharu, mendekatkan lagi rantau ini kepada aspirasi Grid Kuasa Asean yang padu.

“Integrasi itu juga memudahkan lebih banyak dagangan kuasa pelbagai hala dalam Asean, mencerminkan komitmen kita terhadap kerjasama tenaga serantau,” katanya.

MoU itu adalah bagi tempoh tiga tahun. – 25 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related