Pencapaian tiga aspek utama pastikan Malaysia menjadi ‘harimau’ digital Asia: Fahmi

Komponen yang cukup penting juga ialah apabila hari ini banyak syarikat mula mempertimbangkan untuk mengembangkan operasi mereka di Malaysia

7:57 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yakin Malaysia berpotensi menjadi ‘harimau’ digital Asia sekiranya negara dapat mencapai kejayaan dalam tiga aspek utama berkaitan infrastruktur dan ekonomi digital. 

Fahmi berkata perkara pertama dalam tiga aspek tersebut ialah menyelesaikan tiga peratus terakhir kawasan berpenduduk yang tiada jaringan liputan.

“Keduanya adalah menjamin atau meningkatkan tahap keselamatan siber dan penjagaan data peribadi manakala yang ketiga iaitu meningkatkan jumlah pelaburan dan mengembangkan ekonomi digital.

“Sekiranya tiga perkara ini (dapat dicapai) dengan kerjasama pelbagai agensi dan pelbagai pihak di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), saya percaya limpahan daripada usaha ini dapat dinikmati rakyat dan kejayaan itulah akhirnya nanti boleh menggambarkan Malaysia sebagai harimau digital Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kempen #JagaDataKita dan langganan perlindungan data peribadi  Touch ‘n Go eWallet MyCyberShield hari ini. 

Fahmi berkata komponen yang cukup penting juga ialah apabila hari ini banyak syarikat mula mempertimbangkan untuk mengembangkan operasi mereka di Malaysia termasuk menambah jumlah pekerja.

“Ini juga sangat positif, bukan hanya untuk ekosistem ekonomi digital di Malaysia tetapi akhirnya nanti secara tidak langsung menjadikan Malaysia sebagai hab atau tapak bagi syarikat ini berkembang di rantau Asia Tenggara malah lebih luas daripada itu.

“Ini juga antara sasaran kita dengan melihat prasarana yang kita ada, sama ada secara fizikal atau melalui inisiatif seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Malaysia Digital ini mampu jadikan Malaysia destinasi utama bagi para pelabur mengembangkan operasi mereka di Malaysia dan seterusnya di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ketika ditanya mengenai dakwaan berlakunya kebocoran data semasa pelaksanaan polisi Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) Fahmi berkata perkara itu kini dalam siasatan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).

“Saya tidak boleh bercakap tentang perkara ini sehingga ia selesai sebab saya difahamkan pihak JPDP sedang lakukan siasatan… tetapi mana-mana insiden yang berlaku sekiranya JPDP mengesan kemungkinan berlaku apa-apa aspek yang melibatkan data-data peribadi maka mereka ada kuasa untuk menyiasat.

“Biasanya akan ambil sedikit masa berdasarkan kepada kes dan bergantung kepada banyak faktor,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada berlakunya kebocoran data peribadi susulan proses prapendaftaran secara automatik pelaksanaan INSAN dengan memadankan maklumat daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Fahmi berkata perkara itu kini dalam siasatan pihak JPDP.

“Sebab seingat saya, sewaktu sebelum saya menjadi Ahli Parlimen dahulu, saya boleh beli data dan saya telah beli data pada waktu itu untuk tujuan kerja-kerja politik sebagai seorang yang bertanding pada waktu itu untuk Lembah Pantai dan memang maklumat ini boleh diperoleh,” katanya.

Fahmi berkata dalam hal itu, terpulang kepada JPDP sama ada akan memanggil SPR atau tidak kerana mereka mempunyai kuasa sepenuhnya mengikut undang-undang.

Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor dalam kenyataan semalam memaklumkan dakwaan wujudnya elemen pembocoran data rakyat dan penduduk negeri itu adalah tidak tepat dan tiada elemen pembocoran data rakyat negeri itu berlaku menerusi INSAN kerana ia dilindungi oleh kerajaan negeri. – 25 Ogos, 2023

Topics

Hangat

[UPDATED] Desperate, doomed move: Lokman Adam claims Daim, Dr Mahathir behind Langkah Dubai  

Langkah Dubai, a move by the opposition to topple Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim’s administration, is allegedly masterminded by former prime minister Tun Dr Mahathir Mohamad and his right-hand man Tun Daim Zainuddin.

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Punk venue Rumah Api faces relocation amid financial struggles, festival fallout

After eight years of operating on the top floor of Menara MPAJ in Ampang Jaya, local punk music venue Rumah Api will be relocating later this year due to increased rental and related arrears that accumulated during the Covid-19 pandemic.

Related