KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan polis malam tadi selepas dipercayai terbabit kes membuat panggilan ancaman bom palsu di pusat membeli-belah, Aeon Mall Klebang di Chemor, Ipoh, Perak, semalam.
Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di kawasan Tasek, Ipoh, iaitu kurang daripada lima jam selepas laporan polis diterima pihaknya.
“Suspek ini dipercayai bertanggungjawab terhadap panggilan ancaman bom kepada pihak pengurusan pusat membeli-belah terbabit, berdasarkan kepada pengakuan dan keterangan dikumpulkan.
“Ia termasuklah peranti komunikasi yang digunakan suspek untuk membuat panggilan palsu terbabit dan suspek ini akan direman pada 24 Ogos 2023 untuk siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdahulu, pihaknya menerima satu laporan polis pada jam 4.50 petang daripada pekerja sebuah pusat membeli-belah di Chemor bahawa pihak pengurusannya, menerima satu panggilan telefon daripada seorang individu tidak dikenali mengenai ancaman bom di dalam bangunan terbabit.
“Pihak polis bertindak segera terhadap maklumat berkenaan dan menjalankan pemeriksaan menyeluruh di dalam bangunan pusat membeli-belah terbabit dengan bantuan unit pemusnahan bom (UPB), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya.
Yahaya berkata, pemeriksaan di seluruh pusat membeli-belah itu mendapati, tiada sebarang objek meragukan ditemui dan selepas keadaan disahkan selamat, semua kakitangan dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan pada jam 10.30 malam, hari sama.
“Dengan tertangkapnya suspek, maka kes ini berjaya diselesaikan. Kes ini disiasat di bawah seksyen 507, Kanun Keseksaan.
“Pihak polis ingin memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak membuat panggilan ancaman bom palsu dengan sewenang-wenangnya, sehingga mendatangkan ketakutan kepada orang awam dan menggugat ketenteraman awam,” katanya.
Semalam, bangunan empat tingkat Aeon Mall Klebang terpaksa dikosongkan dan operasinya dihentikan untuk hari terbabit berikutan panggilan dipercayai ancaman bom.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri yang mengesahkan insiden itu, panggilan ancaman diterima pekerja bangunan terbabit, sebelum pihak pengurusan membunyikan loceng amaran bagi mengarahkan pekerja dan pelanggan keluar.
Bagaimanapun, pusat membeli-belah itu beroperasi seperti biasa semula hari ini, selepas pihak berkuasa mengesahkan ia selamat diduduki dan kes panggilan diterima pekerja bangunan terbabit adalah ancaman bom.
Pihak pengurusan AEON Co (M) Bhd turut memaklumkan perkara itu melalui hantaran di laman Facebook.
“Selepas pengesahan daripada pihak berkuasa mengenai keselamatan premis, AEON kembali memberi perkhidmatan kepada pelanggan kami. Kami akan beroperasi semula seperti biasa esok, Khamis (24 Ogos 2023) pada 10 pagi.
“Kami memohon maaf atas kesulitan dan amat menghargai kesabaran serta sokongan berterusan anda,” katanya. – 24 Ogos, 2023