Mahkamah tolak permohonan Arul, Irwan ketepikan saman US$6.9 bilion

Secara jelas, pertuduhan terhadap penipuan dan konspirasi tidak boleh diselesaikan menerusi suatu pendekatan mudah, maka, saya mengekalkan status quo dan saman ini akan melalui perbicaraan penuh : hakim

6:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR —  Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan bekas Pengerusinya Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah untuk mengetepikan saman US$6.59 bilion yang difailkan 1MDB terhadap mereka.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan dalam keputusannya terhadap permohonan kedua-dua mereka berkata saman itu perlu melalui perbicaraan penuh kerana mahkamah mahu keterangan penuh daripada saksi-saksi.

“Perkara ini tidak boleh diputuskan dengan afidavit dan ini bukannya kes yang boleh diputuskan melalui ringkasan. Secara jelas, pertuduhan terhadap penipuan dan konspirasi tidak boleh diselesaikan menerusi suatu pendekatan mudah, maka, saya mengekalkan status quo dan saman ini akan melalui perbicaraan penuh. 

Ini bukan satu perkara yang jelas untuk mengetepikannya tetapi memerlukan mahkamah ini untuk menyiasatnya menerusi perbicaraan penuh. Keadilan akan datang kepada pihak yang benar dan akan melalui perjalanan yang lebih panjang untuk mencapainya, “kata Raja Ahmad.

Beliau kemudian memerintahkan defendan (Arul Kanda dan Mohd Irwan) untuk masing-masing membayar kos RM10,000 kepada plaintif dan menetapkan 14 September ini untuk pengurusan kes. 

Peguam Datuk Lim Chee Wee hadir mewakili 1MDB sementara Sanjay Mohan mewakili Arul Kanda dan Lavinia Kumaraendran mewakili  Mohd Irwan.

Mohd Irwan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pada 18 Feb 2022, antaranya mendakwa tuntutan saman terhadapnya adalah pramatang kerana pelaburan Brazen Sky Ltd serta pembayaran Aabar Investments PJS Limited adalah jelas tidak kukuh memandangkan mahkamah masih belum menentukan 1MDB mengalami kerugian sebanyak US$1.83 bilion dan US$3.5 bilion.

Arul Kanda memfailkan permohonan sama pada 2 Jun 2022 atas alasan beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan atas kerugian yang ditanggung 1MDB hasil penyelewengan yang dilakukan oleh orang lain.

Pada Mei 2021, 1MDB memfailkan saman terhadap mereka atas dakwaan pecah amanah dan konspirasi sehingga menyebabkan 1MDB mengalami kerugian berjumlah US$1.83 bilion berhubung pelaburannya dalam 1MDB-Petrosaudi Ltd, yang ditukar kepada pelaburan di Brazen Sky Limited, yang dikatakan terdapat dalam Bridge Global Fund.

1MDB juga mendakwa Arul Kanda dan Mohd Irwan melakukan pecah amanah serta konspirasi dengan menyeleweng dana 1MDB berjumlah US$3.5 bilion yang dibayar kepada Aabar Investments dan US$1.265 bilion, yang dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) pada 9 Mei 2017.

Menurut 1MDB, Mohd Irwan juga berkonspirasi dengan Arul Kanda untuk menyebabkan syarikat itu melaksanakan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan dan membuat pembayaran berjumlah RM2,905,200 kepada Arul Kanda selaras dengan perjanjian itu tanpa menghiraukan kepentingan 1MDB sehingga menyebabkan syarikat berkenaan mengalami kerugian.

Sehubungan itu, 1MDB antara lain menuntut kedua-dua defendan membayar US$6.59 bilion bagi pelanggaran terbabit dan tambahan RM2.9 juta daripada Mohd Irwan berkaitan Perjanjian Pelanjutan Pekerjaan. – 23 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

FashionValet a loss-making entity before and after Khazanah, PNB’s RM47 mil investment

GLICs bought stakes in 2018, company records show total RM103.3 million losses after tax from 2017 to 2022

[UPDATED] Petronas confirms ongoing productivity reviews to ‘eliminate inefficiencies’

Responding to Scoop, industry giant said it aims to become ‘operationally focused, commercially agile and cost-efficient’, but did not clarify if it is linked to Petros deal

Related