KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki maut akibat dihempap forklift dalam kejadian di sebuah kilang di Bukit Raja, Klang, malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Selangor berkata, laporan berhubung kejadian membabitkan pekerja kilang berumur 18 tahun itu, diterima pada jam 12.35 tengah malam tadi.
“Mangsa, iaitu pekerja kilang berkenaan mengalami cedera parah di kepala. Pihak bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkan mangsa serta menyerahkannya kepada KKM (Kementerian Kesihatan).
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya menerusi kenyataan.
Ujarnya, misi itu diketuai Komander Operasi, Pegawai Kanan Bomba II, Mohamad Hafizie Abdul Wahab dengan membabitkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang.
“Ia membabitkan lima anggota,” katanya.
Kejadian pekerja kilang dihempap trak pengangkut barang bukan kes baharu, malah sering dilaporkan, dengan kebanyakkan mangsanya maut. – 23 Ogos 2023