KUALA LUMPUR — Tiada keperluan untuk individu ‘maha kaya’ diberikan keutamaan bantuan oleh kerajaan kerana golongan ini sudah memiliki kekuatan serta pengalaman untuk mencari keuntungan sendiri.
Malah kata Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jamaie Hamil, golongan tersebut boleh membentuk pasukan sendiri dan mewujudkan pelbagai tindakan untuk mencari keuntungan.
Justeru, katanya, apa yang mahu dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah untuk menghapuskan golongan pertengahan atau bawahan sebaliknya mahu menghentikan bantuan kepada golongan korporat.
“Mereka tidak lagi perlu dibantu kerana jutawan ini boleh membentuk pasukannya sendiri atau mewujudkan pelbagai tindakan alternatif dalam mencari keuntungan,” katanya ketika dihubungi Scoop, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji untuk menamatkan dasar negara yang menguntungkan golongan kaya namun mengabaikan keperluan masyarakat yang kurang kemampuan.
Menjelaskan bahawa kerajaan tidak mahu “memansuhkan” hak Melayu atau keistimewaan Bumiputera, Anwar mengingatkan bagaimana pentadbiran terdahulu telah menerima kecaman kerana melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan cara yang menguntungkan golongan berkenaan.
Jamaie juga berkata, DEB dengan cara menguntungkan golongan elit telah bermula sejak pemerintahan Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sehingga pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mengulas lanjut, Jamaie turut bersetuju dengan tindakan Perdana Menteri yang mahu dasar afirmatif diperluaskan berasaskan keperluan dan bukannya berasaskan kaum, namun beliau menjangkakan ia akan mengambil masa menjangkaui 20 tahun untuk masyarakat menerima sepenuhnya perkara terbabit.
“Sebagai contoh, kalau kerajaan pusat nak memajukan Kelantan atau Kedah yang dikatakan mundur, namun lokaliti itu tidak mahu perubahan dilakukan, itu cabarannya. Justeru, ia akan mengambil sehingga 15 hingga 20 tahun akan datang, kalau ia konsisten dilaksanakan oleh Perdana Menteri selepas Anwar, persoalan ini boleh diatasi seperti mana penstrukturan masyarakat menerusi DEB dilakukan, di mana tiada lagi (anggapan) kalau kawasan Seremban, itu tempat cina,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, janji Perdana Menteri itu tanpa ‘memansuhkan’ hak Melayu atau keistimewaan Bumiputera mampu membantu meningkatkan pendapatan peniaga golongan berkenaan, khususnya penjaja kecil.
“Bumiputera ini haknya tidak boleh dipertikai kerana mereka kebanyakannya masih berpendapatan rendah dan jauh ketinggalan. Kalau nak kesamarataan ia tidak adil. Justeru itu, dasar (DEB) kerajaan perlu kekalkan, lakukan penambahbaikan untuk diperkukuhkan agar tiada pihak akan pertikaikan lagi tindakan kerajaan untuk melindungi hak Bumiputera,” katanya.
Sementara itu, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim pula berkata integriti dan akauntabiliti Kerajaan Perpaduan mampu diperkasakan dalam melaksanakan dasar adil dan saksama kepada pelbagai pihak, seperti yang didambakan oleh masyarakat.
“MCW telah meneliti bagaimana negara maju seperti Scandinavia mampu menjadi negara berintegriti tinggi dan menjamin rakyatnya dengan kecukupan dan keadilan sosial dengan baik. Sepertinya, proses Malaysia Madani akan menjadi tanda aras penting untuk setiap masyarakat bersih dari rasuah dan berintegriti tinggi di samping dapat pastikan tidak berlaku jenayah salah guna kuasa, ambil kesempatan atau mampu kurangkan sikap tamak di kalangan pekerja.
“Apabila masalah gaji penjawat awam menjadi isu akibat kenaikan gaji tidak setara dengan harga barang semasa, ia menjadi dorongan menyebabkan berlakunya pecah amanah dan salah guna kuasa di kalangan penjawat awam. Justeru, dengan beri keadilan kepada kelompok miskin dan kakitangan awam berpendapatan rendah, kita yakin mampu kurangkan masalah rasuah dan meningkatkan integriti negara,” katanya. – 22 Ogos, 2023