KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada Khamis ini, bagi membincangkan tarikh penting pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang.
Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, ia berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN itu, susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.
Beliau berkata, SPR sudah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Pelangai.
“Mesyuarat khas tersebut di mana tarikh penting PRK Pelangai seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya terbabit akan dibincangkan,” katanya.
Ikmalrudin berkata, mesyuarat khas berkenaan akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dan sidang media diadakan sejurus selepas mesyuarat khas terbabit.
“Selaras dengan Bab IV Perkara 26 (5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang sudah memperuntukkan yang kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri N 36 Pelangai, Pahang, perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut dipastikan SPR,” katanya.
Allahyarham Johari adalah seorang daripada 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam. Jenazah Johari selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Gombak, Selangor, semalam. – BERNAMA, 21 Ogos, 2023