Henti persoal gagasan Malaysia Madani, ia konsep kepimpinan lebih manusiawi

Tema Madani akan kekal relevan dan mampu selamatkan negara

5:18 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sebarang dakwaan mempersoalkan falsafah gagasan Malaysia Madani diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perlu diperbetulkan semula dan dihayati bersama kerana konsep pentadbiran itu memberi kebaikan terhadap negara serta rakyat.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Madya Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, gagasan Malaysia Madani adalah sebuah wawasan kenegaraan dan falsafah sosial, dengan menggariskan enam prinsip asas sebagai landasan pembangunan negara ini yang lebih maju serta adil.

Ujarnya, seperti dikatakan Penasihat Pertubuhan Profesor G70, Profesor Emeritus Datuk Osman Bakar, enam nilai teras dicerakin daripada perkataan Malaysia Madani itu sendiri, iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan adalah nilai komprehensif yang berjaya menghubungkan idea antara isu kontemporari dengan falsafah dalam pemikiran Islam klasik.

“Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, Madani bermaksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan. Malaysia Madani adalah suatu ikhtiar secara bersepadu serta holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaan di Malaysia, lebih manusiawi yang sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah sertamaklum balas rakyat.

“Jika diteliti, gagasan Malaysia Madani ini juga berasaskan konsep negara Madinah yang mana Rasulullah SAW, berjaya menyatupadukan warga Madinah terdiri daripada pelbagai suku kaum, bukan sahaja sesama umat Islam (muhajirin dan ansar), bahkan dengan bukan Islam (Yahudi) melalui Piagam Madinah sebagai satu bangsa (one nation),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 19 Januari lalu, Anwar mengumumkan Membangun Malaysia Madani sebagai kerangka dasar baharu untuk negara yang dirumus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara, bagi menggantikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, tema Madani akan kekal relevan dan mampu selamatkan negara kerana ia menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan serta rakyatnya berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama.

Anwar memberi jaminan bahawa menerusi dasar itu, tiada komuniti akan terpinggir, termasuk parti di Sabah dan Sarawak serta negeri yang populasinya bukan majoriti Melayu.

Tegasnya, konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan dirangkul peradaban yang dicitakan.

Selain itu, Mohamed Azam berkata, Madani bukanlah konsep yang baharu diperkenalkan Anwar, sebaliknya suah bermula ketika beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1993-1998.

Katanya, ia juga sentiasa disebut Anwar dalam pelbagai ucapan di persidangan nasional, mahupun antarabangsa sepanjang beliau bergiat sebagai aktivis sosial dan ahli politik.

Malah, beliau berkata, menyoroti idealisme, gagasan dan wawasan Perdana Menteri terdahulu pun, slogan seperti Wawasan 2020, Islam Hadhari, 1Malaysia dan Keluarga Malaysia diperkenalkan bagi menjadikan Malaysia negara bangsa membangun, sejahtera, berdaya saing serta harmoni dalam kehidupan masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama di negara ini.

“(Justeru), Gagasan Malaysia Madani juga tidak terkecuali. Jadi dakwaan yang mempersoalkan falsafah gagasan Malaysia Madani ini perlu diperbetulkan semula dan dihayati bersama.

“Ayuhlah kita bersama-sama pimpinan kerajaan hari ini untuk memahami dasar dan falsafah Malaysia Madani sebenar, selain bersatu hati ke arah mencapai masyarakat majmuk Malaysia Madani yang harmoni serta bersatu-padu. – 21 Ogos 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

US embassy refutes claims of new sanctions on Malaysian companies  

Washington has not listed Putrajaya as ‘state sponsor of terror’, it clarifies

Islam larang tegur raja, pemerintah tanpa adab, taat setia bukan perkara main-main: Mimbar

Taat setia kepada raja, pemerintah, pemimpin dan ketua harus ditunjukkan sebaik mungkin, malah bukan perkara main-main yang boleh dipandang sebelah mata.

Related