Penyiasat penerbangan AS bantu siasat nahas Elmina – Anthony Loke

NTSB terlibat dalam siasatan itu kerana pesawat berkenaan dibuat dan didaftarkan di AS

1:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) sedang membantu pihak berkuasa tempatan dalam siasatannya berhubung nahas tragis pesawat Beechcraft Model (Premier 1) di Bandar Elmina di Shah Alam, minggu lepas.

Bercakap kepada pemberita selepas satu program di kementeriannya hari ini, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, NTSB terlibat dalam siasatan itu kerana pesawat berkenaan dibuat dan didaftarkan di Amerika Syarikat (AS).

“Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) yang bertanggungjawab dalam siasatan, dibantu oleh pihak lain, termasuk NTSB dari AS.

“NTSB terlibat (dalam penyiasatan ke atas kemalangan itu) kerana AS adalah pengeluar peralatan asal (OEM) pesawat yang memegang pendaftaran AS,” katanya.

Tambahnya, ia selaras dengan Lampiran 13 kepada Konvensyen mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa, yang meliputi piawaian antarabangsa dan amalan yang disyorkan untuk penyiasatan kemalangan dan insiden pesawat.

Loke berkata, AAIB juga akan menyediakan laporan awal mengenai penemuannya terhadap siasatan tersebut dalam tempoh sebulan dari insiden itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Norazman Mahmud sebelum ini berkata, pesawat itu yang didaftarkan di luar negara dan menggunakan lesen dikeluarkan pihak berkuasa asing, mematuhi peraturan udara.

Semalam, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, AAIB akan meneruskan siasatan ke atas nahas tersebut manakala polis mengklasifikasikan kejadian yang meragut nyawa 10 itu sebagai kematian mengejut.

Antara 10 individu berkenaan, lapan daripadanya berada dalam pesawat terbabit manakala dua lagi penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Antara penumpang pesawat yang terkorban adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang.

Pada Khamis lalu, pesawat kendalian Jetvalet Sdn Bhd itu terhempas dua minit sebelum dijangka mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

CAAM kemudiannya memaklumkan pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sebelum kemalangan itu. – 21 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Let us not forget our unsung heroes – Ravindran Raman Kutty

We must recognise the many ordinary Malaysians doing extraordinary things

Tiong King Sing gets feet wet to aid victims as over 1,000 evacuated in Sarawak floods

Women, Family & Community Development Minister Datuk Seri Nancy Shukri says assistance was immediately mobilised on first day of Chinese New Year

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Related