KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua, Datuk Seri Amirudin Shari kekal sebagai Menteri Besar Selangor bagi penggal kedua.
Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada jam 11.22 pagi.
Turut berangkat pada istiadat angkat sumpah jawatan dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan Menteri Besar Selangor itu ialah Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Amirudin, 43, dilantik ke jawatan itu selepas Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 12 Ogos lalu.
Pada PRN lalu, Amirudin berjaya mempertahankan kerusi DUN Sungai Tua selama empat penggal berturut-turut sejak mula bertanding di kawasan itu pada 2008.
Beliau menang dengan majoriti 5,185 undi dengan memperoleh 19,678 undi menewaskan calon PN Muhammad Hanif Jamaluddin yang mendapat 14,493 undi dan calon Bebas Suman Gopal (430 undi).
Naib Presiden PKR itu mengangkat sumpah pertama kali sebagai Menteri Besar Selangor pada 19 Jun 2018.
Dilahirkan pada 8 Februari 1980 di Pontian, Johor, Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia.
Kelmarin, Kenyataan Selangor Royal Office memaklumkan, Sultan Selangor sudah memberi perkenan bagi Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor, hari ini.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (exco) Selangor juga akan berlangsung pada hari sama, jam 2 petang.
Pada Sabtu lalu, Amiruddin mengesahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan senarai berkenaan kepada Istana Selangor, dengan pengumuman mengenai pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu akan dilakukan pihak istana. – 21 Ogos, 2023