KUALA LUMPUR – Allahyarham Heikal Aras Abdul Azim, 45, seorang daripada mangsa terkorban dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 di bandar Elmina, Khamis lalu memasang impian menjadi juruterbang sejak kecil malah sangat meminati karakter Han Solo dalam filem Star Wars.
Abang sulungnya, Husnein Aras, 46, berkata kerana karakter dari filem itu juga yang menambah semangat adiknya yang akhirnya mencapai cita-citanya untuk menjadi juruterbang.
“Aku nak jadi Han Solo, aku nak juga jadi Han Solo, itu memori saya dan Heikal dan ayat itu sering kami ungkapkan sewaktu kecil kerana terlalu meminati karakter dalam filem Star Wars.
“Itu akan menjadi kenangan bersamanya yang akan sentiasa tersemat di ingatan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkubuhan Islam Presint 20 di Putrajaya, hari ini sejurus majlis pengebumian Heikal Aras.
Husnein berkata, jejak langkah anak kedua daripada lima beradik itu turut mendorong minat dua lagi adik mereka untuk menjadi juruterbang.
“Kini minat itu boleh dilihat pada anak sulung arwah, Daniel Zulqarnain, 13, kerana dia sering membina model kapal terbang daripada kadbod” katanya.
Menceritakan mengenai sisi peribadi arwah, Husnein Aras berkata Allahyarham seorang yang ceria, gembira dan sentiasa mengukir senyuman walaupun berdepan masalah.
Katanya, hubungan arwah dengan adik beradiknya juga amat baik kerana sudah dididik untuk sentiasa menghormati antara satu sama lain.
“Pemergian arwah memang menjadi satu kehilangan besar kepada kami sekeluarga kerana kami rapat sesama kami. Kalau diikutkan, saya yang patut ‘pergi’ dahulu sebab saya lebih tua tetapi aturan Allah itu adalah lebih baik.
“Sebab itu saya katakan pemergian arwah adalah kematian yang amat dicemburui. Kami sekeluarga reda dengan ketentuan ini,” katanya.
Terdahulu, jenazah Heikal Aras dibawa ke kediaman keluarganya di Taman Desa Pinggiran Putra, Sepang, selepas selesai menjalani proses bedah siasat dan pengecaman di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.
Jenazah sebelum itu dimandi dan dikapankan petugas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Masjid Jamek Ar-Rahimiah berdekatan HTAR.
Allahyarham meninggalkan tiga orang anak, Daniel Zulqarnain, 13; Suri Balqish, 10 dan Rafael Dzulqairy, 9, hasil perkongsian dengan bekas isterinya, Christine Yong. – 20 Ogos, 2023.