KUALA LUMPUR – Perwatakan persis Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang gigih membantu rakyat, menjadikan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai calon favourite untuk menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang kosong ketika ini.
Penganalisis politik, G Manimaran berkata, Pengarah Strategi Parti Amanah Negara (Amanah) itu antara calon paling sesuai dan layak mengisi kerusi penting ditinggalkan Salahuddin yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah pada 23 Julai lalu.

Menurut beliau, Dzulkefly merekodkan prestasi cemerlang sewaktu mengetuai Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani wabak COVID-19 ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah selama 22 bulan pada 2018 hingga 2020.
Malah katanya, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga bebas kontroversi selain berpengalaman sebagai anggota Kabinet.
“Perwatakan beliau sama macam Salahuddin. Beliau juga masih seorang Ahli Parlimen dan tiada kontroversi.
“Kalau melihat dari sudut itu, saya berpandangan beliau ada kelebihan untuk menggalas tanggungjawab penting berkenaan,” katanya kepada Scoop.
Beliau berkata, sekiranya calon pengganti Salahuddin dipilih berasaskan hierarki parti, pengalaman dan kepimpinan Dzulkefly perlu diberikan pertimbangan oleh pimpinan Amanah.
“Dalam keadaan itu, pengganti Salahuddin perlu mempunyai kasut, baju dan sifat yang sama. Dia bukan membawa imej individu atau parti tapi kerajaan. Negara memerlukan pemimpin seperti itu.
“Segala perancangan perlu diteruskan dan dipercepatkan. Jadi Dzulkefly berupaya melakukannya. Walaupun beliau hanya Pengarah Strategi Amanah, beliau antara pemimpin kanan dan pengasas parti itu,” katanya.
Dalam pada itu, pakar ekonomi Profesor Emeritus Barjoyai Bardai menyifatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebagai sebuah kementerian yang ‘sensitif’ dan banyak kerja, justeru ia perlu diterajui pemimpin yang komited dan berjiwa rakyat.
Beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya, pemimpin kanan Amanah yang memiliki kriteria tersebut adalah Dzulkefly.
“Pada pendapat saya, Dzulkefly seorang yang bekerja keras, tegas dan pencapaiannya semasa menjadi Menteri Kesihatan agak membanggakan.
“Jadi saya yakin beliau boleh meneruskan agenda Allahyarham Salahuddin walaupun beliau tidak begitu popular,” katanya.

Mengakui prestasi Salahuddin antara yang terbaik dalam Kerajaan Perpaduan, beliau berharap calon penggantinya boleh mengembangkan konsep Payung Rahmah yang diperjuangkan Ahli Parlimen Pulai itu.
“Idea beliau tentang menu Rahmah satu pembuka jalan kepada ekonomi Malaysia Madani sebenarnya dan ia perlu dikembangkan.
“Saya harap siapa jadi pengganti beliau akan terus menggembangkan agenda itu meliputi pelbagai aspek termasuk menangani isu pinjaman pelajaran khususnya PTPTN,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program Pengajian Ekonomi di Institut Jeffrey Cheah Asia Tenggara, Sunway University, Prof Yeah Kim Leng berpendapat, Anwar sudah mengenal pasti calon pengganti yang layak dan mempunyai ciri-ciri kepimpinan seperti Salahuddin.
Namun, beliau mengesyorkan pemimpin yang mahu melakukan kelainan dan berkelayakan perlu berani mencalonkan diri mereka sendiri untuk menggalas tugas besar itu.
“Dari situ kita boleh nampak komitmen mereka. Calonkan diri dan sahut cabaran, kemudian buat pemilihan.
“Ramai kata Dzulkefly paling sesuai. Sekarang sama ada beliau sanggup memikul tanggungjawab besar itu kerana kementerian tersebut memang mencabar,” katanya.

Ketika timbul desas-desus mengenai rombakan Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, penganalisis politik, Prof Wong Chin Huat berpendapat ia adalah hak mutlak dan berdasarkan budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun katanya, jika tiada rombakan Kabinet dan sekadar ingin meletakkan pengganti Salahuddin, kuota kerusi kosong itu kekal milik Amanah dan Dzulkefly antara calon yang boleh dipertimbangkan.
“Dzulkefly mempunyai imej profesional, mesra rakyat dan tiada kontroversi. Beliau antara calon yang sesuai.
“Sama ada perlu rombakan Kabinet, itu terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri. Kalau itu berlaku, seluruh gambaran besar (Kabinet) perlu difikirkan,” katanya. – 19 Ogos, 2023