Adakah kegagalan struktur pesawat, enjin tidak keluarkan tujahan jadi punca pesawat hilang kawalan?

Pelbagai andaian boleh dibuat namun perlu dirangkumi dengan bukti daripada kotak hitam, kenyataan saksi serta komponen pesawat: pakar

8:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Kawalan pesawat yang tergendala, kegagalan struktur pesawat serta enjin yang tidak mengeluarkan tujahan kemungkinan menjadi antara punca pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) hilang kawalan, sebelum terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam, Selangor, semalam.

Bagaimanapun Ketua Penerbangan Mencari dan Menyelamat Institut Teknologi Penerangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya Mejar Mohd Harridon Mohamed Suffian sukar untuk menjelaskan punca pesawat terbabit terhempas disebabkan maklumat sedia ada sangat terhad.

Malah katanya, insiden terbabit yang berlaku terlalu mendadak dan pantas juga menyukarkan siasatan terperinci dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

“Pelbagai andaian boleh dibuat namun perlu dirangkumi dengan bukti daripada kotak hitam, kenyataan saksi serta komponen pesawat yang telah dikumpulkan dari tempat nahas itu. Lazimnya apabila ada situasi kecemasan, juruterbang akan guna panduan yang telah dipraktikkan iaitu, perlu kendalikan pesawat terlebih dahulu (bagi melakukan pendaratan kecemasan), sebelum menghubungi menara kawalan lapangan terbang.

“Berkemungkinan juruterbang tidak mendapat satu masa julat tertentu untuk berkomunikasi dengan menara kawalan dan apakah sebenarnya yang sedang berlaku dalam pesawat. Justeru, kita perlu menilai data dari kotak hitam sama ada pesawat itu mengalami kegagalan sistem kawalan,” katanya ketika dihubungi Scoop, hari ini.

Insiden terbabit yang berlaku terlalu mendadak dan pantas menyukarkan siasatan terperinci dilaksanakan oleh pihak berkuasa – Gambar Scoop, 18 Ogos, 2023

Harridon mengulas mengenai tragedi pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, semalam hingga mengorbankan 10 nyawa.

Mengulas lanjut, Harridon turut menegaskan, sebarang kemungkinan punca kejadian perlu disertakan dengan bukti kukuh bagi memastikan unjuran itu tidak hanya berpaksikan spekulasi semata-mata sebaliknya selari dengan prinsip penyiasatan iaitu dibuat berdasarkan entiti yang solid.

“Lazimnya kotak hitam mampu menunjukkan apa berlaku kepada pesawat di paras altitude tertentu dan adakah ia terkait dengan kegagalan sistem kawalan. Ia kemudiannya akan digabungkan dengan bukti dari tempat nahas untuk mendapat julat masa yang sebenar mengenai apa yang berlaku.

“Pihak berkuasa juga perlu membuat perbandingan dengan jenis pesawat yang sama, yang pernah terlibat dalam kemalangan sama ada di Malaysia atau di luar negara. Mereka perlu mengumpul bukti bagi mengetahui masalah yang biasa berlaku melibatkan model pesawat terbabit,’’ katanya.

Pakar penerbangan menafikan cuaca memainkan peranan kerana ketika kejadian, kelajuan angin adalah dalam keadaan baik – Gambar Scoop, 18 Ogos, 2023

Sementara itu, pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Mohd Haniff berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) tentunya akan mengambil kira rekod penyelenggaraan pesawat terbabit kerana ia adalah aspek penting dalam operasi sesebuah pesawat.

Rahmat bagaimanapun menafikan cuaca memainkan peranan kerana ketika kejadian, kelajuan angin adalah dalam keadaan baik.

Tambahnya, ketiadaan panggilan kecemasan atau ‘mayday’ oleh pesawat terbabit sebelum terhempas menunjukkan kemalangan tersebut berlaku secara pantas.

“Pada masa sama, pihak berkuasa yang terlibat juga akan memberi perhatian secara teliti sekiranya wujud sebarang masalah disebabkan kesilapan manusia namun ketika ini, CAAM akan memberi tumpuan untuk mencari petunjuk berbentuk teknikal dahulu sebelum mencari kemungkinan yang lain,” katanya. – 18 Ogos 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

New MM2H rules: reduced deposits and age limits for special economic zone applicants

They must only be 21 years old, deposit US$65,000 in Malaysian bank, half of which can be withdrawn under certain conditions after approval

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related