KLANG – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menguruskan setiap jenazah yang terkorban dalam tragedi pesawat malang Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam.
Ia termasuk urusan pengebumian di sebuah tanah perkuburan di Seksyen 21, Shah Alam.
Perkara tersebut dimaklumkan dalam taklimat ringkas oleh pihak berkuasa kepada waris yang ketika ini menunggu di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Difahamkan, jenazah akan dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan itu sekiranya dipersetujui oleh waris-waris.
Bagaimanapun, kesemua waris diberikan hak untuk mengebumikan jenazah insan tersayang mereka di mana sahaja termasuk di kampung halaman masing-masing.
Difahamkan juga keluarga juruterbang, Shahrul Kamal Roslan memaklumkan jenazah akan dibawa ke Taman Melawati dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate hari ini. – 18 Ogos, 2023