SHAH ALAM – Pesawat ringan yang terhempas di Lebuhraya Guthrie dekat Bandar Elmina, di sini, petang semalam, tidak mempunyai perakam data penerbangan (FDR).
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, susulan siasatan yang dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) semalam, pesawat itu hanya mempunyai perakam suara kokpit (CVR).
“Dalam jam 10 lebih malam tadi, daripada siasatan BSKU ni, pesawat ini CVR saja, tiada FDR. Bila kita tanya, ada separuh yang tiada langsung, pesawat ringan memang tiada, jadi yang ini ada satu, jadi daripada itu memang telah diambil oleh BSKU untuk siasatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambah Razarudin, CVR telah diambil oleh BSKU untuk siasatan lanjut.
Razarudin berkata pihaknya akan berusaha untuk menyelesaikan operasi pembersihan serpihan bangkai pesawat melibatkan kawasan 11,000 meter persegi di jalan itu pada tengah hari ini, bagi memudahkan penduduk di Elmina menggunakannya.
“Untuk membersihkan jalan berkenaan, kita mempunyai kekuatan daripada Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Crime Scene Investigation (CSI) daripada PDRM serta lain-lain bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Gerakan Am,” katanya. – 18 Ogos, 2023