KLANG — Kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai susulan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Datuk Seri Johari Harun dalam kemalangan pesawat ringan di Elmina, Shah Alam petang semalam, akan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat.
Yang Dipertua DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin bagaimanapun berkata, pihaknya akan membantu menyelesaikan urusan pengebumian Allahyarham Johari terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan lanjut.
“Apa-apapun kita mahu selesaikan urusan jenazah ini terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, malam tadi.
Johari, 53, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang merupakan salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Elmina, Shah Alam, petang semalam.
Mohd Sharkar berkata Johari menaiki pesawat berkenaan atas urusan rasmi. Beliau sebelum itu menghadiri mesyuarat bersama Menteri Besar, Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Langkawi, Kedah.
“Mulanya saya keliru sebab ada banyak Johari (di Pahang), tetapi apabila melihat nombor kad pengenalan bermula 1970 bermakna 53 tahun dan kita dapat jangka Johari Harun yang meninggal dunia,” katanya yang menyifatkan Johari sebagai seorang yang rajin dan sentiasa mendapatkan nasihat daripadanya berkaitan politik. – 18 Ogos, 2023