Nahas Pesawat: Ini kali kedua Khairil Azwan terlibat nahas udara: Rakan baik

12:28 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kali pertama terlibat dalam nahas udara, Khairil Azwan Jamaluddin yang ketika itu pembantu juruterbang, merupakan orang yang membantu mengeluarkan dan menyelamatkan juruterbang dari sebuah helikopter terhempas.

Namun kali ini nasib tidak menyebelahi Khairil Azwan apabila namanya tersenarai sebagai antara penumpang yang maut dalam nahas pesawat terhempas di Elmina dekat sini hari ini.

Kejadian pertama yang dialami Khairil Azwan kira-kira 13 tahun lalu itu diceritakan oleh rakan baiknya Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Udara, Bahagian Udara Ibu Pejabat Bomba Putrajaya Penguasa Kanan Bomba 1 Roslan Aziz iaitu juruterbang helikopter dalam nahas udara pertama pada 16 Sept 2010.

Roslan berkata ketika itu, Khairil Azwan menjadi pembantunya dalam operasi tinjauan udara pada musim perayaan Aidilfitri di Lebuhraya Pantai Timur dari Gombak, Selangor ke Kuantan, Pahang.

“Ketika kemalangan itu, dialah yang menyelamatkan saya dengan mengeluarkan saya dari bangkai helikopter dan memberikan rawatan awal kepada saya yang cedera parah sebelum bantuan tiba.

“Kemalangan berlaku pada kira-kira 10.30 pagi akibat cuaca buruk dan pesawat cuba untuk berpatah balik tetapi gagal kerana jarak penglihatan yang sangat terhad dan kami terpaksa terbang rendah bila kami terlanggar dan terhempas di kawasan bukit,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Khairil Azwan adalah individu yang dirujuknya untuk mendapatkan maklumat jika berlaku sebarang nahas seperti itu.

“Kali ini bila dengar ada kejadian kapal terbang terhempas di Elmina, saya cuba telefon dia untuk dapatkan maklumat tetapi sebaliknya dapat tahu nama dia tersenarai dalam manifest penumpang yang maut dalam nahas itu,” katanya.

Roslan turut menyifatkan sahabatnya itu, yang berasal dari Mempaga, Pahang seorang yang periang, sentiasa mengambil berat tentang rakan-rakan dan selalu bersemangat untuk terbang serta sentiasa berpesan kepada rakan-rakan untuk terbang dengan selamat. 

Khairil Azwan, yang menyertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia pada 2005, menjadi pembantu Roslan selama tiga tahun sebelum menamatkan perkhidmatannya enam tahun kemudian untuk menyertai syarikat penerbangan swasta.

Nama Khairil Azwan berada dalam senarai penumpang yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) namun identiti mangsa perlu disahkan melalui proses forensik.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan tiada penumpang yang selamat dalam nahas pesawat itu, yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang di sini hari ini. – 17 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Gopeng says goodbye to beloved 111-year-old soy sauce factory Hup Teck

For over a century, Uncle Tong’s family kept culinary heritage alive with all-natural, sun-fermented soy sauce crafted in age-old earthen pots, a tradition which started in 1914

Related