Kontraktor aerotrain yang ditamatkan kontrak pernah dipecat

Pestech terbabit dalam litigasi berikutan penamatan daripada projek landasan berkembar

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) semalam, menamatkan perkhidmatan kontraktor aerotrain baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut MAHB, perjanjian bernilai RM742.95 juta diberikan kepada Pestech International Bhd untuk pembinaan dan penyediaan penggerak penumpang automatik (APM) baharu itu dibatalkan kerana kegagalan pihak terbabit, menyiapkan projek berkenaan dalam tempoh ditetapkan.

Kenyataan MAHB memaklumkan, projek itu diberikan kepada Pestech pada Disember 2021 berikutan proses tender yang kompetitif.

“Pestech didapati melanggar perjanjian di bawah kontrak dan gagal memperbetulkan perkara itu dalam tempoh ditetapkan,” ujar MAHB.

Walaupun Pestech dijangka mempertikaikan tindakan itu dan mendapatkan perlindungan, ia bukan kali pertama firma kejuruteraan serta pembinaan terbabit dipecat daripada tugasannya.

Pada 10 Mei lalu, anak syarikatnya Pestech Technology Sdn Bhd (PTech), dipecat sebagai subkontraktor bagi projek landasan berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru kerana kelewatan.

Kontraktor utama syarikat pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd (SPYTL), iaitu cabang pembinaan Kumpulan YTL, mendakwa ‘insolvensi’ dihadapi PTech adalah satu daripada isu menyebabkan projek itu tertangguh sejak April 2021.

Pestech bagaimanapun menafikan bahawa anak syarikatnya itu muflis menerusi notis kepada Bursa Malaysia.

Tugasan di bawah projek bernilai RM399 juta itu, termasuk perkhidmatan kejuruteraan turnkey, perolehan, pembinaan dan penyelenggaraan.

PTech yang sudah menyelesaikan 70 peratus daripada projek itu, kemudian memfailkan tuntutan mahkamah, mendapatkan injunksi serta ganti rugi lain.

Malah, pengurusan kanan Pestech menjadi topik panas membabitkan isu undang-undang walaupun nama mereka sudah dibersihkan.

Pada 17 Julai, Pengerusi Eksekutif, Lim Ah Hock serta Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif Kumpulan Lim Pay Chuan, dibebaskan serta dilepaskan Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan menyalahgunakan aset syarikat di bawah Kanun Keseksaan.

Mahkamah sama membebaskan Ketua Pegawai Eksekutif PTech, G Paismanathan atas pelbagai pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah berhubung projek Mass Rapid Transit 2 (MRT 2), di bawah Kanun Keseksaan, membabitkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Bulan lalu, timbul kemarahan dalam kalangan korporat apabila IJM Corp Bhd mengumumkan, bahawa ia memperoleh 44.83 peratus kepentingan dalam Pestech International pada harga RM124 juta atau 15.5 sen sesaham.

Penganalisis menggesa supaya pihak terbabit berhati-hati, tetapi Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corp, Lee Chun Fai berkata, pelaburan itu membawa peluang untuk kedua-dua pihak, iaitu IJM dan Pestech dalam sektor penghantaran kuasa serta elektrifikasi rel yang sedang meningkat.

Sama ada situasi itu memberi kesan kepada IJM berikutan kehilangan dua projek rel utama Pestech, masih belum dapat dipastikan.

Di Bursa, Pestech ditutup pada nilai 29 sen semalam.

Scoop sedang menunggu komen daripada Pestech. – 17 Ogos 2023

Topics

Hangat

Mamak restaurants’ group to sue TikTok user for defaming industry

The Malaysian Muslim Restaurant Owners’ Association (Presma) will proceed with suing a TikTok user for making defamatory claims about food preparation and cleanliness at mamak restaurants.

Hartalega Holdings falls prey to ransomware attack, internal systems down

According to an urgent notice sent out by its IT team to personnel in the Bursa-listed firm’s wholly-owned subsidiaries Hartalega NGC Sdn Bhd and Hartalega Sdn Bhd, a number of applications and softwares are currently inaccessible due to the attack.  

Ibu Zayn Rayyan dibawa ke mahkamah untuk rekod pengakuan: Polis

Ibu kepada Zayyan Rayyan Abdul Matiin, Ismanira Abdul Manaf dibawa ke mahkamah untuk direkod pengakuan di bawah Akta Keterangan 1950.

Related