KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melaksanakan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) bermula hari ini, bagi membendung salah laku membabitkan pasaran produk asas pengguna itu.
Menerusi kenyataannya, KPKM berkata, OP BPT akan memberi fokus terhadap pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas kilang padi komersial dan pemborong beras.
“Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat, mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” katanya.
Malah, kenyataan itu memaklumkan, KPKM memandang serius video ditularkan berkaitan dakwaan penipuan dilakukan pemborong beras tempatan.
Video itu, katanya, memaparkan pemborong terbabit membungkus semula kampit beras tempatan menjadi bungkusan kampit beras import yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan.
Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang berkaitan padi dan beras dilaksanakan oleh Kawalselia Padi dan Beras (KPB) KPKM, di bawah Akta Kawalselia Padi dan Beras 1994 [Akta 522].
“KPKM ingin memberikan peringatan kepada semua pengilang, pemborong dan peruncit agar tidak sesekali melakukan penyelewengan ke atas penjualan beras, dengan menukar bungkusan atau label beras putih tempatan (BPT) kepada beras putih import (BPI) dijual pada harga jualan runcit beras putih import (BPI),” katanya.
Pada masa sama, KPKM berkata, tindakan undang-undang akan diambil ke atas mana-mana pihak didapati membuat kenyataan palsu mengenai gred beras di bawah Seksyen 21 Aka Kawalselia Padi dan Beras [Akta 522], dengan dikenakan penalti.
“Penalti itu menyaksikan individu terbabit boleh dibicarakan di mahkamah dan didenda sehingga RM25,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau kedua-duanya, manakala syarikat juga boleh didenda sehingga RM50,000.
“Sekiranya orang ramai mempunyai sebarang maklumat berhubung isu berkaitan beras, sila kemukakan aduan secara rasmi bersama butiran dan maklumat lengkap melalui saluran Kawalselia Padi dan Beras KPKM; portal aduan KPB, httos://skpb.kpkm.gov.my/adu’ emel ([email protected]) serta hotline Ibu Pejabat KPB di talian
Topics